SEJUJURNYA saya ada harapan yang besar untuk filem seram dari Indonesia, mungkin kerana reputasi kualiti yang dihidangkan sutradara untuk naskhah horror dari negara seberang itu sangat menggiurkan akhir-akhir ini.
Ini kali pertama saya mendengar nama Arie Aziz dan juga sedikit teruja menyaksikan hasil tangannya di layar apa lagi saya dimaklumkan ia mengambil latar Bromo yang indah.
Kutukan Sembilan Setan memiliki premis cerita yang sangat mudah iaitu lima sahabat, Verdy (Fandy Christian), Sarah (Frislly Herlind), Devon (Ajil Ditto), Miko (Joshua Suherman) dan Lia (Denira Wiraguna) menginap di banglo berhantu.
Saya tidak mahu terlalu cepat menghakimi bahawa ini sebuah cerita yang sangat klise dengan beberapa filem dari Malaysia yang pernah membawakan plot yang sama. Namun selepas act pertama filem ini berlangsung, saya akhirnya terpaksa merendahkan harapan dan jangkaan agar tidak terlalu kecewa.
Jika kita bercakap tentang filem seram, ada beberapa perkara yang pasti mempunyai elemen serupa sekaligus mudah untuk dianggap sebagai klise. Ia bukanlah sesuatu yang buruk, lagi pula, mana ada benda yang benar-benar original dalam hidup kita.
Cuma, kekuatan sesebuah cerita hantu yang bagus dibanding dengan lambakan naskhah seram yang pernah wujud adalah berdasarkan daripada cara pengolahan plot, budaya, latar masa, serta teknik jumpscare yang mungkin berbeza dan kreatif berbanding cerita lain.
Ketika saya mengatakan Kutukan Sembilan Setan sebagai ‘klise’, ia bermaksud saya tidak menjumpai identiti filem ini atau keunikan baharu termasuklah daripada aspek plot, gaya jumpstart,budaya dan kelainan yang mungkin menjadi faktor menakjubkan untuk memancing saya di kerusi penonton.
Namun, mungkin yang paling mustahak untuk kita bincangkan adalah kepincangan daripada segi garapan dan alur cerita yang dianggap tidak relevan. Bayangkan, di suatu malam apabila kelima-lima sahabat ini bersetuju bahawa rumah itu berhantu dan menggigil ketakutan, keesokan paginya mereka boleh berjalan-jalan melihat matahari dan berkunjung ke beberapa air terjun sambil bergembira. Bukan itu sahaja, mereka boleh pula kembali ke rumah yang horror itu kerana tidak mahu membazir.
Pertama, pengarah telah memotong rasa seram penonton dengan babak jalan-jalan yang tidak perlu. Kedua, di manakah logiknya seseorang yang berasa takut boleh ada keinginan untuk menginap di rumah banglo yang murah, dengan alasan tidak mahu membazir?
Berlaku babak plot twist yang mungkin diharap dapat menjadi selling point untuk naskhah ini. Malangnya, ia tidaklah begitu mengujakan dan sempat membuat saya berfikir betapa membazirnya masa berada di dalam panggung menonton filem ini hingga ke akhirnya.
Namun begitu, saya harus memuji pemilihan warna serta sinematografi filem ini yang cantik. Arie Aziz ialah pengarah berbakat namun mungkin bukan sebagai sutradara filem seram.