JOHOR BAHRU: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di negara ini menunjukkan peningkatan kualiti udara yang semakin baik apabila tidak ada stesen yang merekodkan bacaan tidak sihat pada hari ini.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, 26 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik dan 42 stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana setakat pukul 11 pagi tadi.
Katanya, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura, tiada titik panas (hotspot) dikesan dalam negara setakat ini.
“Imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20, tiga titik panas dikesan di Sumatera dan 22 titik panas di Kalimantan, Indonesia tetapi tidak di dalam negara ini.
“Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC pada semalam menunjukkan taburan titik panas dan keadaan berjerebu semakin berkurangan di Kalimantan dan Sumatera disebabkan hujan yang dialami di sebahagian besar kawasan ASEAN Selatan dalam beberapa hari ini.
“Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) akan sentiasa memantau kualiti udara dari semasa ke semasa bagi memastikan NRECC dan agensi-agensi terlibat dengan pengurusan bencana jerebu dapat bertindak dengan lebih cepat dan responsif,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan, di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) di sini hari ini.
Terdahulu, perasmian Sambutan Hari Alam Sekitar Peringkat Kebangsaan dirasmikan Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris.
Hadir sama, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dalam pada itu, Wan Abdul Latiff turut mengingatkan orang ramai khususnya pemilik tanah supaya tidak melakukan pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan berlaku pencemaran udara serta jerebu setempat.
Katanya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga sentiasa melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka.
“Semua pemilik tanah disarankan supaya memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Mereka juga boleh dikenakan kompaun maksimum sebanyak RM2,000 atas setiap kesalahan seperti yang termaktub dalam Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Tambahnya, JAS komited dalam menangani sebarang isu berhubung pencemaran dan menyeru orang awam untuk melaporkan sebarang aktiviti mencemarkan alam sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau e-mel ke [email protected] melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my. -UTUSAN