SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa melunaskan perkara-perkara yang pernah diperjuangkan dahulu bersama Pas dalam Pakatan Rakyat (PR) seperti isu peruntukan wakil rakyat dan royalti minyak.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kritikan yang dibuat kepada Perdana Menteri bukan bersifat peribadi sebaliknya tertumpu kepada pentadbiran dan agenda diperjuangkan sebelum ini.
“Contohnya harga minyak, apabila dia naik (menjadi Perdana Menteri) akan membetulkan isu royalti minyak dengan Kelantan dan Terengganu. Sedikit kalau dia ambil line (jangkauan tiga batu nautika) tersebut ia takkan ada konfrontasi.
“Tetapi bila dia ambil untuk meneruskan bahkan mengecilkan lagi (jumlah royalti), ini tak sepatutnya dibuat, sama juga soal peruntukan kepada Ahli Parlimen.
“Di Kelantan, Kedah tak ada perjanjian pun kita beri kepada pembangkang. Tak ada perjanjian tetapi hak dia sebagai wakil rakyat, kita beri,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menerangkan isu royalti minyak tidak dapat diselesaikan ketika Pas dan PN menjadi kerajaan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15, namun memberikan peruntukan lebih kepada kedua-dua negeri tersebut.
“Tak dapat diperbetulkan sebab melibatkan perundangan sebab kita akui waktu itu banyak isu berlaku, tiga tahun kita berdepan dengan Covid-19 tak banyak benda yang kita boleh bincang, tetapi ada beberapa perkara yang kita cuba betulkan kita betulkan.
“Kita harapkan walaupun dalam zaman kita memerintah cuba membetulkan sistem tersebut tetapi kita beri jumlah kewangan besar sebagaimana yang sepatutnya diterima macam Terengganu dapat lebih RM1 bilion atau RM2 bilion, berbanding sekarang RM500 juta saya difahamkan begitu,” jelasnya. – UTUSAN