SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak cukup berani bagi menyatakan pendirian sebenar dalam krisis Palestin – Israel seperti menyokong Hamas, Palestine Islamic Jihad atau Hezbollah.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Anwar dikatakan mempunyai hubungan dagang dengan negara-negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel.
“Ada negara yang buat hubungan diplomatik dengan Israel, Anwar Ibrahim buat hubungan dagang, tak perlu sebutlah dengan negara mana.
“Ya, tidak kuat (pendirian), (Anwar) tak berani cakap untuk menyokong Hamas, Palestine Islamic Jihad dan Hezbollah sedangkan tiga kumpulan tidak boleh disamakan dengan daesh. Sebab kumpulan ini melawan Israel mengikut hukum Islam,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar pada Muktamar Tahunan Pas Ke-69, hari ini.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam hantaran pada Facebooknya hari ini, memaklumkan beliau mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas membincangkan perkembangan terkini di Gaza.
Anwar berkata, beliau dan Mahmoud bersetuju bahawa perlunya usaha bagi menghentikan sebarang bentuk keganasan yang berlaku ini.
Bagaimanapun, sebelum itu Mahmoud dilapor menegaskan, tindakan dan dasar kumpulan Hamas tidak mewakili rakyat Palestin, lapor agensi berita rasmi negara itu, WAFA.
Dalam panggilan telefon dengan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Abbas menegaskan, Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) merupakan ‘wakil sah tunggal rakyat Palestin’.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Marang itu turut menjelaskan Kerajaan Malaysia dikatakan tidak memberikan sokongan kuat kepada Kerajaan Palestin, yang berdepan serangan Israel.
Menurutnya kerajaan dilihat masih terikat dengan resolusi yang dibuat Amerika Syarikat (AS) dan negara barat berhubung resolusi perdamaian di antara dia negara berkenaan.
“Kerajaan Malaysia agak longgar dalam sokongan kepada Palesin, mereka masih berpegang pada resolusi yang dibuat oleh Amerika Syarikat dan negara barat.
“Dalam keadaan Israel tidak menghormati semua perbincangan, dalam keadaan resolusi dua negara itu dibuat, dalam masa sama pemindahan haram Yahudi dilakukan di Palestin dan dihalau orang Palestin dari rumah-rumah dengan kawalan tentera Israel dan dia suruh kita ikut,” tegasnya. – UTUSAN