KPT, MOF digesa semak semula pemansuhan diskaun PTPTN - Utusan Malaysia

KPT, MOF digesa semak semula pemansuhan diskaun PTPTN

PTPTN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Kewangan (MOF) digesa menyemak dan mengkaji semula keputusan memansuhkan diskaun bayaran balik pinjaman mahasiswa daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Ini kerana tindakan tersebut disifatkan menekan golongan graduan yang baharu meninggalkan institusi pengajian tinggi terutama dalam situasi peluang pekerjaan yang sangat kompetitif dan tidak menentu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Izuan Kasim berkata, tindakan memansuhkan kemudahan itu akan memberi impak negatif kepada golongan graduan kerana ia membebankan.

“Selain itu, inisiatif yang telah dijalankan sebelum ini jelas telah membantu peminjam untuk mengurangkan beban bagi melaksanakan tanggungjawab untuk membayar balik hutang PTPTN. 

“Justeru, AMK Selangor berharap agar keputusan ini dapat dikaji semula untuk memastikan mahasiswa lepasan universiti tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, KPT tidak berhasrat meneruskan diskaun bayaran balik PTPTN menerusi Bajet 2024 yang akan dibentangkan minggu hadapan.

Bagaimanapun, menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, apa-apa keputusan sebaliknya tertakluk kepada Kementerian Kewangan (MOF).

Dalam pada itu, Izuan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara menggesa KPT melaksanakan pelan alternatif atau inisiatif lain yang boleh membantu graduan apabila mereka meninggalkan universiti atau kolej untuk memasuki dunia pekerjaan.

“AMK Selangor akan terus komited dalam usaha membantu golongan muda dan mahasiswa agar tidak terus terbeban dalam usaha untuk mengubah nasib serta menikmati kehidupan yang lebih baik selepas alam universiti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya