KUALA LUMPUR: Seramai 256,901 siswazah bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berjaya dilahirkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi bagi tempoh lima tahun iaitu 2018 sehingga 2023.
Jumlah itu meliputi 185,076 graduan politeknik 139,579 dan kolej komuniti (45,497) dan 71,825 lagi merupakan graduan universiti awam.
Ia melibatkan 299 program diploma mewakili 37 peratus daripada keseluruhan program diploma TVET yang ditawarkan oleh 12 kementerian dan agensi di seluruh negara, dengan hanya 42 peratus pelajar dan program TVET di negara dikendalikan di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya turut menjalankan kajian pengesanan graduan (SKPG) bagi mengukur purata kebolehpasaran graduan TVET.
“Purata kebolehpasaran graduan TVET dari universiti awam pada 2018 sehingga 2022 adalah sebanyak 91.8 peratus. Daripada jumlah ini, 69.4 peratus graduan telah bekerja. Daripada jumlah responden yang telah bekerja ini, sebanyak 60.9% bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di universiti awam.
“Baki 14.9 peratus adalah graduan yang sedang melanjutkan pengajian, 3.1 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 4.3 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan,” katanya ketika sesi pertanyaan bersama menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamed Khaled berkata, purata kebolehpasaran graduan politeknik dari 2018 sehingga 2022 pula mencatatkan 94.8 peratus dengan peratus graduan yang telah bekerja adalah sebanyak 76.2 peratus.
“Daripada jumlah responden yang telah bekerja ini, sebanyak 50 peratus bekerja dalam bidang yang berkaitan dengan pengajian di politeknik manakala baki 19.1 peratus adalah sedang melanjutkan pengajian, 0.4 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 1.5 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata, bagi kebolehpasaran graduan kolej komuniti pula menunjukkan purata sebanyak 96.2 peratus dengan peratus graduan yang telah bekerja adalah sebanyak 74.8 peratus.
“Daripada jumlah responden yang bekerja, sebanyak 53.4 peratus graduan telah bekerja dalam bidang yang dipelajari di kolej komuniti.
“Baki 22.3 peratus adalah graduan yang memilih untuk melanjutkan pengajian, 0.2 peratus lagi sedang mengikuti kursus atau latihan meningkatkan kemahiran dan 0.4 peratus lagi sedang menunggu penempatan pekerjaan,” katanya. – UTUSAN