PASIR PUTEH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memberi tumpuan secara menyeluruh kepada bidang keterjaminan makanan terutama berkait dengan aspek penyediaan tenaga pakar dan penyediaan teknologi pertanian.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, tumpuan itu tidak hanya melibatkan keterjaminan bekalan beras negara yang berdepan krisis meruncing pada ketika ini sebalik dalam semua segmen pemakanan.
“Ini bermakna kita memberi perhatian kepada semua segmen dalam keterjaminan makanan dan kita mulakan langkah dengan lebih awal.
“Kelebihan kita adalah dari sudut penggunaan teknologi digital dalam industri pertanian,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Agrotek Madani di Kolej Vokasional Pasir Puteh, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu memberitahu, beliau merasakan teknologi digital dalam industri pertanian akan dapat dikuasai dengan mudah dan cepat oleh anak-anak muda di negara ini.
Katanya, penguasaan teknologi ini dengan cepat sekali gus akan memudahkan mereka menjadi tenaga pakar dan kembali menyumbang kepada masyarakat khususnya dalam sektor pemakanan negara.
“Pelancaran Karnival Agrotek Madani adalah sangat penting dan signifikan dengan situasi semasa dalam sektor keterjaminan makanan ketika ini. Karnival tersebut adalah inisiatif awal KPM dalam membantu sektor keterjaminan makanan untuk jangkamasa panjang sekali gus merapatkan dan memakmurkan komuniti serta memperkenalkan kolej vokasional.
“Melalui program ini juga kita mempromosikan penggunaan teknologi seperti kepintaran buatan (AI) dan dron dalam pertanian dengan tujuan mempertingkatkan penguasaan pelajar-pelajar dalam aspek ini.
“Banyak kepakaran telah dihasilkan serta ditekuni ketika ini dan kita harap program ini akan mencapai sasaran khususnya dalam memperluaskan lagi bidang pertanian di peringkat kolej vokasional dan KPM sendiri,” ujarnya.
Fadhlina berkata, KPM akan terus memperhebatkan program sebegitu bagi mengangkat pertanian sebagai sumber ekonomi negara dan memperkukuhkan keterjaminan makanan melalui penghasilan kepakaran dari kolej vokasional. – UTUSAN