PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) mensasarkan nisbah seorang guru kaunseling bagi 250 murid sekolah rendah dan menengah dapat dicapai bagi memastikan saranan dan intervensi diperlukan dilaksanakan secara efisyen dan efektif.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sedar ketika ini terdapat kekurangan bilangan guru itu demi memenuhi keperluan sebenar murid.
“Kita akui ada kekurangan (guru kaunseling) tetapi usaha ke arah itu sedang dibuat dan kita perlukan dari segi nisbah untuk memastikan saranan dan intervensi dapat berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas penutup Persidangan Antarabangsa Kaunselor Pendidikan 2023 di sini hari ini.
Dalam perkembangan berlainan, Fadhlina memaklumkan, ibu bapa dan penjaga tidak perlu mengisi apa-apa borang permohonan untuk mendapatkan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 kerana ia akan disalur berdasarkan rekod di sekolah masing-masing.
“Bantuan itu untuk semua murid dan ia sama seperti sebelum ini. Rekod itu sudah ada (dan) mereka (ibu bapa) hanya perlu pergi ke sekolah dan ambil macam biasa. Itu proses biasa macam tahun-tahun sebelum ini,” ujarnya.
Pada Isnin lalu, KPM memaklumkan bayaran BAP sebanyak RM150 kepada setiap murid secara sekali bayar akan memberi manfaat kepada 5,254,200 murid di seluruh negara.
BAP akan disalurkan bermula Januari 2024 menerusi sekolah masing-masing sebelum diagihkan secara tunai atau kredit ke dalam akaun setiap murid. – UTUSAN