KUALA LUMPUR: Kerajaan telah mengambil inisiatif memperkenal bidang pengajian berkaitan kenderaan elektrik (EV) di Kolej Vokasional di Johor yang akan memulakan operasinya pada 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, bidang pengajian itu ialah Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) sebagai menyokong dasar Automotif Nasional untuk memacu penggunaan EV di Malaysia.
Katanya, perancangan prabina sedang dilakukan bagi memastikan kursus yang bakal ditawar dapat disiapkan mengikut garis masa yang telah ditetapkan.
“Elemen Teknologi Automotif Hibrid dan Kenderaan Elektrik (EV) serta Teknologi Robotik diterap dalam kurikulum di 53 buah KV yang menawarkan program Teknologi Automotif yang pada ketika ini memang berupaya untuk meningkatkan pengetahuan murid terhadap teknologi terkini,” katanya semasa sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Zahir Hassan [PH-Wangsa Maju] berkenaan rancangan menambah bilangan kolej vokasional yang akan menawarkan kursus kemahiran dalam industri EV.
Mengulas lanjut, katanya, terdapat dua kolej vokasional yang sedang beroperasi di Parlimen Wangsa Maju iaitu Setapak dan ERT, Setapak yang menawarkan kursus berkaitan teknologi automotif menerapkan elemen EV.
Katanya, kementerian juga komited memastikan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) relevan dengan pekerjaan masa hadapan, dengan memastikan kandungan kurikulum bagi program diploma yang ditawar di kolej vokasional diberi nilai tambah teknologi terkini selaras dengan perkembangan industri 4.0.
“Contoh, smart farming dan internet of things (IoT) dalam bidang pertanian yang diintegrasi melalui latihan amali bagi program pertanian di lima kolej vokasional pertanian menawarkan program pertanian seperti KV Teluk Intan, Perak, KV Chenor, Pahang, KV Pasir Puteh, Kelantan, KV Dato’ Lela Maharaja,Negeri Sembilan dan KV Lahad Datu, Sabah.
“Elemen IoT dan kecerdasan buatan (AI) juga diterap dalam kurikulum di 23 buah KV yang menawarkan program Teknologi Sistem Komputer dan Rangkaian melalui pelaksanaan Sistem Rumah Pintar,” katanya. – UTUSAN