KPKT beri amaran ambil tindakan tegas pemilik ubah suai premis - Utusan Malaysia

KPKT beri amaran ambil tindakan tegas pemilik ubah suai premis

NGA Kor Ming mengendali jengkaut ketika merasmikan majlis pecah tanah projek pembinaan pasar sementara Pasir Pinji di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik rumah kedai di Lembah Klang yang mengubah suai premis untuk dijadikan 38 bilik sewa bersaiz ‘liang lahad’.

Menteri KPKT, Nga Kor Ming berkata, pihaknya memandang serius tindakan pemilik premis berkenaan yang bukan sahaja membahayakan penghuni jika berlaku kebakaran malah memberi risiko kepada kesihatan.

Katanya, tindakan mengubahsuai ruang di dalam premis itu dilihat keterlaluan dan tidak berperikemanusian kerana menjadikan ia amat sempit dan tidak kondusif untuk penghuni.

“KPKT mengambil pendirian tegas dan memberi amaran kepada semua pemilik premis yang didapati telah melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita minta mereka ini untuk mengubah semula premis kepada bentuk asal atau berdepan tindakan undang-undang.

“KPKT dengan kerjasama PBT dan agensi terlibat akan secara aktif memantau keadaan ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar peraturan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Pasar Sementara Pasir Pinji, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd. Fadzli Mohd. Kenali dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemilik premis yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 79 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133).

Katanya, hukuman itu memperuntukkan denda sehingga RM500 dan juga boleh didenda tambahan tidak melebihi RM100 bagi tiap-tiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

“Sekiranya pemilik premis mahu buat pengubahsuaian, sila buat permohonan kepada PBT, bukannya buat pembahagi yang keterlaluan hingga membahayakan nyawa penyewa.

“Kita seharusnya mengambil ikhtibar daripada kejadian kebakaran melibatkan sebuah sekolah tahfiz di ibu negara sebelum ini yang meragut nyawa ramai pelajar dan tenaga pengajar. Jadi, kita tidak mahu kejadian sama berulang lagi,” katanya.

Menerusi laporan sebuah akhbar tempatan, sebuah premis rumah kedai di Lembah Klang diubah suai menjadi 38 bilik berbentuk kapsul yang hanya memuatkan tilam bujang dan kipas dinding.

Bilik sewa sebesar ‘liang lahad’ itu bersaiz kira-kira 1.5 meter (lima kaki) lebar x 2.1 meter (enam kaki) panjang x 1.5 meter tinggi dengan anggaran sewa RM300 sebulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya