KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mencadangkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memberi bantuan logistik untuk menghantar beras putih import (BPI) ke kawasan pedalaman.
Langkah itu perlu bagi memastikan harga BPI bersubsidi di kawasan pedalaman Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kekal dijual di bawah harga RM31 bagi setiap 10 kilogram.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Chan Foong Hin berkata, ketika ini di Semenanjung Malaysia, kerajaan membayar FAMA untuk menanggung kos logistik bagi menghantar beras putih tempatan (BPT).
“Di Sabah, saya juga akan membawa cadangan sama kepada FAMA sebagai agensi di bawah kementerian ini untuk memberi sokongan logistik untuk membawa beras sampai ke pedalaman.
“Margin keuntungan jualan beras putih tempatan di Semenanjung hanya 50 sen sekampit dan kita kena lihat juga keadaan tersebut. Kerajaan akan buat segalanya agar tidak berlaku pembelian panik dalam kalangan rakyat. Jika rakyat membuat pembelian panik, berapa banyak bekalan sekalipun, tidak akan cukup,” katanya semasa meninjau harga dan bekalan beras putih import di Pasaraya Bataras Jalan Gaya, hari ini.
Dalam pada itu, Foong Hin berkata, beliau juga akan memastikan penguatkuasaan dipertingkat bagi memastikan tidak berlaku penyeludupan BPI ke negara jiran.
Ketika ini, harga BPI di Sabah, Sarawak dan Labuan adalah yang terendah maka, kerajaan tidak mahu subsidi yang ditanggung oleh kerajaan demi kebajikan rakyat dimanfaatkan oleh negara jiran, sekiranya berlaku penyeludupan.
Dalam usaha meningkatkan pengeluaran beras tempatan, kerajaan juga sedang melaksana penanaman padi di bawah Program Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB) di Kota Belud.
Bagaimanapun, pelaksanaannya belum dilakukan secara besar-besaran dan ketika ini, pengeluaran beras putih tempatan di Sabah hanya pada kadar 22 peratus.
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi juga menyatakan beliau sedang mengenal pasti 50,000 hektar tanah di Sabah dan Sarawak untuk tanaman padi sawah. Cadangan itu akan membolehkan Sabah dan Sarawak berkembang sebagai negeri jelapang padi. – UTUSAN