Kontrak Siti Nordiana batal, tidak disambung ekoran siaran

Kontrak Siti Nordiana batal, tidak disambung ekoran siaran langsung Instagram

SITI NORDIANA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam diberitahu, penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias kehilangan kontrak pengiklanan sebagai duta tiga buah syarikat komersial ekoran siaran langsung dalam laman Instagram yang memburukkan namanya.

Pengurus artis berkenaan, Mohammad Al Anas Osman, 39, berkata, kontrak dengan sebuah syarikat komestik itu dibatalkan manakala dua lagi daripada syarikat luar negara, tidak disambung.

Ujar beliau, surat pembatalan kontrak bertarikh November 2020 diterima selepas pihaknya menyerahkan ikatan dokumen pada hari yang sama saman difailkan terhadap lima defendan.

“Terma-terma dalam kontrak menghendaki personaliti sentiasa berkelakuan baik dan sebarang perlanggaran akan memberi kesan buruk jangka panjang. Syarat am kontrak meletakkan personaliti tajaan mereka tidak mempunyai isu kontroversi,” ujarnya.

Mohammad Al Anas dipanggil sebagai saksi kedua plaintif pada perbicaraan kes tuntutan saman RM2.5 juta Siti Nordiana, 39, terhadap lima defendan termasuk dua rakan artis atas dakwaan memfitnahnya di platform Instagram.

Mereka ialah penyanyi Lan Solo atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Mohamed Yusof, 38, dan isterinya, Nur Sheila Hassim, 38, serta penyanyi Syura atau Zuraidah Badron, 37.

Dua lagi ialah Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music, Sam Musyadzafar Samin, 45, serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 43.

Pada prosiding itu, Mohammad Al Anas turut memberitahu, beliau menerima banyak mesej daripada peminat Siti Nordiana selepas siaran langsung Instagram yang memburukkan nama penyanyi dan pelakon berkenaan.

Ketika ditanya oleh peguam Azlan Abdul Razak yang mewakili Lan Solo, isterinya dan Syura, pengurus itu berkata, semua mesej diterima pada awal pagi 21 Julai 2021 melalui laman sosial Facebook.

Dalam penyataan bertulisnya, pengurus itu menyatakan kesan siaran langsung Instagram yang dibuat oleh defendan-defendan telah menyebabkan nama baik Siti Nordiana terjejas teruk dalam kalangan masyarakat.

Ini kerana katanya, siaran langsung Instagram tersebut melalui rakaman YouTube telah mencecah rastusan ribu penonton sehingga hari ini.

Ujar saksi, ekoran siaran langsung itu menyebabkan ejen pencari bakat bertindak balas dengan bertanyakan situasi Siti Nordiana terhadap siaran langsung Instagram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Dr. John Lee Kien How @ Mohd. Johan bersambung 30 Oktober ini.

Dalam pernyataan tuntutannya, Siti Nordiana mendakwa pada 20 Julai 2021, melalui siaran langsung yang dikendalikan Nur Sheila dan disertai empat defendan lain, menerusi akaun Instagram masing-masing menyiar, mengeluar serta menerbitkan kata-kata berunsur fitnah terhadapnya.

Siti Nordiana mendakwa kata-kata fitnah itu membawa maksud antaranya beliau bukan seorang artis yang bersih dan dihormati orang, seorang yang ego, tidak ingin mendengar nasihat dalam segala perkara, tidak menghormati orang lain dan menggunakan wang serta populariti untuk memastikan dirinya dihormati.

Penyanyi itu turut mendakwa kelima-lima defendan telah memadam siaran langsung daripada akaun Instagram masing-masing, namun ia tular serta telah dimuat naik semula ke akaun YouTube dan masih boleh ditonton oleh orang ramai.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN