JARANG kita dengar tentang penubuhan klinik dalam kawasan masjid yang berfungsi memudahkan penduduk sekitar mendapatkan perkhidmatan.
Pejam celik sudah 12 tahun Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) beroperasi dalam pekarangan Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya.
Lebih menarik, klinik yang mula beroperasi dalam kabin pada April 2011 itu, sebahagian besarnya dibangunkan hasil sumbangan penduduk setempat berjumlah RM500,000.
Premis itu kemudian berpindah ke bangunan baharu pada 2012 yang dikendalikan sepenuhnya oleh KPJ Healthcare Berhad.
Setiausaha masjid, Mohd. Khairudin Abd Aziz berkata, klinik itu dibuka kepada orang awam, enam hari seminggu, dengan kos rawatan serendah RM5.
Antara perkhidmatan yang disediakan di klinik itu adalah seperti demam biasa dan kecederaan ringan.
“Alhamdulillah, klinik ini dapat sambutan menggalakkan. Ia beroperasi Isnin hingga Jumaat dari pukul 9 pagi hingga 4.30 petang, manakala Sabtu separuh hari dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari,” katanya ketika ditemui di Karnival Maulidur Rasul sempena sambutan Jubli Perak masjid itu, baru-baru ini.
PUSAT MUALAF & PENDIDIKAN
Masjid yang beroperasi sejak 13 September 1998 ini sememangnya aktif dengan penganjuran pelbagai program selain kemudahan mesra penduduk.
Mohd. Khairudin berkata, antara keistimewaan masjid ialah ia mempunyai pejabat pentabdiran bagi Pusat Pendaftaran Pengislaman Mualaf.
Menerusinya, pihak masjid diberikan kepercayaan oleh Bahagian Pendaftaran Mualaf dan Pembangunan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bagi memudahkan proses
pengislaman mualaf.
“Imam, Muhammad Hakimi Mustapai, yang mempunyai tauliah untuk mengislamkan mualaf ditugaskan menyelia pusat ini.
“Pelajar mualaf yang masih aktif ada dalam 15 hingga 20 orang. Rata-rata mereka tinggal di kawasan sekitar seperti USJ, Subang Jaya dan Puchong.
“Kita sediakan kelas fardu ain untuk membimbing dan memberi bantuan kebajikan bagi mereka memulakan hidup baharu,” katanya.
Individu berniat untuk melafazkan syahadah datang dari pelbagai tempat dengan tahun ini sahaja sembilan individu diberikan hidayah memeluk Islam.
Masjid itu ditunjangi tiga imam dan dua bilal bertugas.
Bersesuaian fungsi masjid yang bukan sekadar menjadi tempat beribadah semata-mata, masjid yang sudah mencecah usia 25 tahun ini turut menyediakan kemudahan pendidikan.
Masjid dua tingkat itu menempatkan Kelas Agama dan Fardu Ain Integrasi (KAFAI) yang menampung lebih 700 murid dengan 25 kelas disediakan.
Antara tarikan lain adalah hiasan dalaman di ruang solat utama masjid ini yang tampak mewah, berwarna-warni dan penuh keindahan persis Masjdi Nabawi di Madinah.
Keunikan itu dapat dilihat pada bahagian tiang, lampu, karpet serta corak dan ukiran khat di dinding masjid yang mencecah kos pengubahsuaian hampir RM1.2 juta, pada 2004.