KKM gerakkan Pelan Advokasi Mengurangkan Gula

KKM gerakkan Pelan Advokasi Mengurangkan Gula

ZAINAL Alhakab Seman (kanan) melancarkan Kempen Kurangkan Gula 2023 di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) kini sedang menggerakkan Pelan Advokasi Mengurangkan Gula sebagai satu inisiatif mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, antara program yang diperkenalkan menerusi pelan itu termasuk Kempen Kurangkan Gula 2023 yang dilancarkan hari ini dengan slogan ‘Gula: 1 Sudu Teh Dah Cukup, Kurang Lebih Baik, Tiada Terbaik’.

Beliau berkata, pelan itu dibentuk bagi menyampaikan mesej berkaitan gula dan kesannya terhadap kesihatan dapat disebarkan secara meluas di seluruh negara.

“Pelan advokasi ini bermatlamat meningkatkan kesedaran rakyat Malaysia, dan seterusnya dapat mengawal pengambilan gula harian.

“Pelan ini juga merangkumi kempen kurangkan gula kepada pengusaha gerai yang menjual minuman di Medan Selera di seluruh Wilayah Persekutuan Putrajaya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Kurangkan Gula 2023 di Medan Selera Presint 16, di sini hari ini.

Teks ucapan Dr. Zaliha dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM, Datuk Zainal Alhakab Seman.

Katanya, semua sedia maklum bahawa pengambilan gula berlebihan boleh mengundang pelbagai penyakit seperti obesiti, diabetes, karies gigi dan risiko mendapat penyakit tidak berjangkit.

Dr. Zaliha berkata, kajian pemerhatian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) mendedahkan trend peningkatan penyakit diabetes iaitu dari 11.2 peratus (2011) kepada 13.4 peratus (2015) dan meningkat kepada 18.3 peratus (2019).

Menurutnya, karies gigi dalam kalangan kanak- kanak juga masih tinggi iaitu 76.2 peratus (2000) dan 71.3 peratus (2015) bagi kanak- kanak 5 tahun, dan 41.5 peratus (2007) dan 33.3 peratus (2017) bagi kanak-kanak berumur 12 tahun.

“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyarankan setiap individu perlu mengambil tidak lebih 7.5 sudu teh gula sehari termasuk dalam minuman dan makanan lain dalam sehari.

“Kami dapati rakyat Malaysia tidak peka dengan makanan dan minuman yang diambil terutama yang telah siap dimasak atau siap dibungkus malah, ia mengandungi kadar gula yang sangat tinggi.

“Sebagai contoh, minuman manis berkarbonat mengandungi 10 sudu teh gula di dalam setiap 500ml minuman, manakala teh tarik pula dianggarkan mengandungi sehingga 10 sudu teh krimer manis bersamaan dengan lima sudu teh gula,” katanya.

Mengulas kempen itu, Dr. Zaliha berkata, pihaknya mendapati kebanyakan pengusaha minuman di medan selera di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan sudah menyahut cabaran dalam melaksanakan aktiviti mengurangkan gula di premis mereka.

“Saya difahamkan, semua pengusaha minuman di medan selera sekitar Putrajaya telah bersetuju untuk melaksanakan penggunaan 1 sudu teh gula sahaja bagi setiap minuman yang dipesan.

“Saya juga turut dimaklumkan terdapat juga beberapa pengusaha minuman yang telah lama memulakan inisiatif pengurangan gula dalam minuman yang disediakan,” katanya.

Katanya, beliau berhara usaha itu diteruskan di tempat lain dan berharap kerajaan negeri juga dapat memperkenalkan inisiatif sama pengusaha minuman di gerai dan medan selera di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya