Kibar bendera Palestin di masjid, rumah tanda sokongan - Utusan Malaysia

Kibar bendera Palestin di masjid, rumah tanda sokongan

MOHD Azmi Abdul Hamid (tengah) memberi sumbangan Tabung Kemanusian Palestin Negeri Perak di Masjid Sultan Idris Shah II di Ipoh, hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Pertubuhan Perundingan Islam Malaysia (Mapim) menggesa rakyat menyumbang dalam tabung misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin.

Presiden Mapim, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, sumbangan yang diberikan sangat membantu rakyat di Gaza.

“Selain itu, saya juga menyeru rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam supaya mengibarkan bendera Palestin di kediaman mereka selain masjid sebagai tanda simbolik menyokong Palestin.

“Kita juga perlu memberi tekanan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menamatkan penjajahan Zionis Israel ke atas Palestin,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penerangan Keadaan Terkini Gaza-Palestin di Masjid Sultan Idris Shah II di sini hari ini.

Azmi berkata, sebanyak RM200,000 sumbangan dikumpul dalam tempoh enam hari sejak pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin Negeri Perak pada Ahad lalu.

Menurutnya, menerusi sumbangan itu pihaknya meminta pembekal di Gaza untuk mengedarkan bantuan dari segi makanan dan sebagainya untuk rakyat di sana dan pembayaran dilakukan di Kaherah, Mesir.

“Kami menyasarkan RM2 juta sumbangan dapat dikumpul melalui tabung tersebut dalam masa dua bulan.

“Jika sebelum ini kami menyasarkan RM1 juta dapat dikumpul dalam masa sebulan, kini kami sasarkan sebanyak RM2 juta dari rakyat Perak dan RM10 juta dari rakyat di Selangor,” katanya.

Beliau juga menggesa kerajaan Malaysia segera memainkan peranan aktif dalam menangani perkembangan terkini di Palestin.

Katanya, ini kerana keadaan di Gaza, Tebing Barat dan Al Quds kini amat genting.

“Kemusnahan kediaman, institusi pendidikan, masjid, prasarana awam dan angka kematian serta kecederaan rakyat Palestin meningkat setiap minit akibat perang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya