KUALA SELANGOR: Dua remaja dilarang keluar rumah bermula pukul 8 malam hingga 6 pagi selama dua tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas kesalahan melakukan perbuatan khianat pada Ogos tahun lalu.
Selain hukuman tersebut, kedua-dua remaja lelaki berusia 16 tahun itu dikehendaki mencuci tandas sebagai sebahagian daripada perintah khidmat masyarakat selama 100 jam dalam tempoh enam bulan.
Majistret Siti Hajar Ali turut mengenakan bon berkelakuan baik sebanyak RM1,000 setiap seorang selama dua tahun.
Peguam, Johan Ariff Salim Khan yang menjadi pemerhati bagi ibu mangsa Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol, Hizanawati Abu Bakar, 49, berkata, majistret turut memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan.
“Dalam masa sama kedua-dua tertuduh dikehendaki hadir ke bengkel yang dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepanjang tempoh bon berkuatkuasa,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding sebutan semula kes, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan pada prosiding pertama , kedua-dua remaja yang merupakan rakan kepada mangsa dituduh melakukan khianat dengan api dan menyebabkan kebinasaan kepada bangunan tersebut.
Kesalahan tersebut dilakukan pada pukul 2.47 petang dekat tandas awam gelanggang futsal di Bandar Puncak Alam 28 Ogos 2022. Oleh demikian mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan denda.
Kes dikendalikan, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Afiq Qiwaumuddin Mustapha Shakri.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan dua remaja ditahan polis bagi membantu siasatan terhadap insiden membakar sebuah bangunan sehingga mengundang tragedi ngeri apabila seorang rakan mereka maut dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Hizanawati ketika ditemui memberitahu akan membuat semakan terhadap kes tersebut selepas tidak berpuas hati dengan hukuman yang dikenakan kerana insiden berkenaan menyebabkan anaknya Muhammad Damin maut.
“Saya yakin apa yang diberitahu (daripada salah seorang tertuduh) kepada mahkamah tidak sama seperti yang diceritakan kepada saya selepas kejadian berkenaan,” ujarnya.
Tambahnya, dia diberitahu ketika kejadian, mangsa cuba dikejutkan menerusi jeritan dari arah luar tandas berkenaan, namun anak kelimanya itu gagal menyelamatkan diri dan terperangkap dalam kebakaran berkenaan.
“Saya diberitahu, tertuduh memberitahu mahkamah mereka cuba mengejut mangsa beberapa kali kerana saya yakin kalau itu tindakan yang dilakukan anak saya pasti selamat.
“Apabila saya pergi semula ke tempat tersebut beberapa hari selepas kejadian, saya melihat ada kesan tapak tangan pada cermin tingkap, selepas itu ada kesan kotoran pada dinding dipercayai arwah berdiri bersandar kemudian terduduk sebelum meninggal dunia,” luahnya.
Katanya Hizanawati lagi, dia kesal dengan insiden tersebut kerana menyebabkan kehilangan seorang lagi anak selepas anak keduanya meninggal dunia akibat leptospirosis dua tahun sebelum tragedi itu. – UTUSAN