Keutuhan seabad usia Masjid Jamek - Utusan Malaysia

Keutuhan seabad usia Masjid Jamek

SENI bina masjid ini adalah contoh seni bina rasmi British serta menjadi mercu tanda Kuala Lumpur. -UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MASJID Jamek Sultan Abdul Samad, antara bangunan bersejarah yang kekal kukuh binaannya walaupun sudah mencecah usia 114 tahun, sejak dibina pada 23 Disember 1909.

Pembinaan masjid di Jalan Tun Perak ini hanya memakan masa sembilan bulan yang dibiayai dananya oleh Sultan Selangor, Almarhum Sultan Alauddin Sulaiman Shah, penjajah British dan individu-individu Islam lain berjumlah AS$33,538 (RM158,826).

Binaan masjid tertua di Kuala Lumpur yang terletak di pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak ini sangat tinggi nilai estetikanya.

Maka, tidak hairanlah seandainya ia menjadi tumpuan pelancong kerana terletak di lokasi strategik bersebelahan stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

Ketua Eksekutif masjid, Ahmad Rosidi Mohmad berkata, kebanyakan pelancong datang dari negara Eropah yang tertarik dek seni bina dan panjang sejarahnya.

“Masjid ini memang terkenal sebagai masjid pelancongan. Banyak aktiviti pengimarahan yang dilaksanakan seperti program pelancongan, hari kebesaran Islam, lawatan kunjungan hormat serta kelas pengajian secara zikal dan dalam talian,” katanya.

Masjid dibuka setiap hari dari pukul 5 hingga 7 pagi dan 10 pagi hingga 10 malam.

Keindahan binaan ini terletak di tangan arkitek, Arthur Benison Hubback yang bertanggungjawab mereka bentuk masjid yang bercirikan seni bina Indo-Saracenic dan Moghul serta berdasarkan reka bentuk sebuah masjid di India Utara.

Ahmad Rosidi berkata, ia diapit dua menara dan beberapa menara lain lebih kecil serta kubah bebawang setinggi 21.3 meter di bahagian dewan solat dan kemuncak menara.

Belang merah dan putih di dinding batu pula kelihatan sama seperti Masjid Jamek di Cordoba, Sepanyol.

“Seni bina masjid ini adalah contoh seni bina rasmi British di negara ini serta menjadi mercu tanda Kuala Lumpur,” katanya.

Memetik portal Masjid Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), ia dibina pedagang Islam dari India pada 1909, berhampiran tapak perkuburan awal Melayu lama pada zaman penjajahan tentera British.

Batu asas masjid itu diletakkan oleh Sultan Alauddin pada 23 Mac 1908, dan baginda secara rasmi membuka masjid ini, pada 23 Disember 1909.

Sejak 1979, kerja-kerja pemulihan dan pembaikan dijalankan sehingga 10 Mei 1983 yang melibatkan pembesaran masjid tanpa mengubah reka bentuk asalnya.

Memandangkan ia menjadi tumpuan ramai, beberapa tahun kemudian pihak kerajaan membesarkan ruang masjid yang dilengkapi permaidani dan lampu hiasan.

Pada 1993, masjid ini sekali lagi menjalani kerja-kerja pembaikan akibat sebuah kubahnya runtuh.

Masjid ini juga merupakan lokasi utama untuk solat Jumaat bagi penjawat awam sehingga pembinaan Masjid Negara pada tahun 1967.

Pada 2017, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menamakan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur kepada Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

Masjid yang ditadbir oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ini ditunjangi oleh lapan imam dan lapan bilal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya