KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan disaran meningkatkan tadbir urus dalam menguruskan perbelanjaan awam selain mempergiat usaha ke arah keberkesanan pengurusan perbelanjaan.
Itu antara empat syor tindakan yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 yang perlu diambil berhubung kedudukan kewangan kerajaan Persekutuan.
Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi berkata, syor kedua adalah menambah baik pengurusan hutang awam iaitu kemampuan keberhutangan dan kemampanan hutang serta pengurusan jaminan kerajaan.
“Ini bagi mengurangkan risiko fiskal terutama dalam situasi ketidaktentuan pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan LKAN Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2022 yang dibentang di Parlimen hari ini.
Wan Suraya berkata, pihaknya turut mengesyor supaya pemantauan berterusan perlu dilaksana oleh Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Jabatan terhadap kerja dilakukan pegawai.
Jelasnya, ini termasuk memberi latihan bagi meningkatkan kompetensi dalam kalangan pegawai.
“Terdapat juga keperluan meningkatkan keberkesanan fungsi Unit Audit Dalam (UAD) di kementerian dan jabatan dan memastikan anggota UAD mendapat latihan dan bimbingan secukupnya, menyediakan rancangan audit tahunan supaya pengauditan dapat dilaksana mengikut keutamaan.
“Membuat penilaian secara objektif dan bebas, bukan sahaja berkaitan dengan aspek kawalan dalaman malahan risiko dan tadbir urus organisasi, melaporkan penemuan signifikan serta mengesyorkan cadangan yang memberi impak kepada organisasi,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Suraya turut mengemukakan 145 syor bagi menambah baik perkhidmatan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Daripada jumlah itu, katanya, 24 syor penambahbaikan perkhidmatan untuk kerajaan Persekutuan manakala sejumlah 121 syor lagi dikemuka kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri.
Jelasnya, Sijil Ketua Audit Negara bagi 13 penyata kewangan kerajaan negeri tahun berakhir 31 Disember 2022 sudah selesai dikeluarkan sehingga Ogos lalu.
“Semua pegawai pengawal/pegawai kewangan negeri/ketua jabatan yang berkenaan sudah dimaklumkan terlebih dahulu mengenai perkara yang dilaporkan dalam LKAN untuk tujuan pengesahan.
“Mesyuarat penutup juga sudah diadakan bagi tujuan membincangkan penemuan audit dan mendapatkan penjelasan serta maklum balas terhadap isu-isu berbangkit,” katanya. – UTUSAN