KUALA TERENGGANU: Kesibukan kerja sebagai Timbalan Ketua Pengarah di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bukan penghalang untuk Dr. Abdullah Sulaiman menamatkan pengajian Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.
Abdullah, 54, yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkata, PhD tersebut adalah hadiah teristimewa untuk arwah ayahnya, Sulaiman Ibrahim yang sangat mementingkan pendidikan untuk sembilan orang anaknya.
Menurutnya, walaupun hidup mereka sekeluarga dibelenggu kemiskinan, namun pendidikan tetap diberi keutamaan kerana mereka sedar hanya ilmu mampu mengubah masa depan keluarga.
“Ayah hanya seorang penoreh getah dan ibu, Siti Jarah Che Jusoh pula menjadi guru al-Quran di kampung. Hidup memang sudah umpama ‘kais pagi, makan pagi dan kais petang, makan petang’ dan makan bercatu itu sudah menjadi lumrah kami sekeluarga.
“Alhamdulillah hasil daripada ketegasan arwah ayah serta keperitan hidup yang pernah dilalui, kami akhirnya berjaya menjejakkan kaki ke menara gading dan dua adik beradik berjaya melanjutkan pengajian ke United Kingdom dan Amerika Syarikat.
“Saya harap kejayaan ini dapat dijadikan inspirasi kepada golongan miskin di luar sana agar tidak mudah berputus asa dalam mengejar impian mereka,” katanya.
Beliau adalah antara 2,388 graduan UMT yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula hari ini hingga Selasa depan.
Berpengalaman dalam bidang geologi selama 30 tahun serta mempunyai kepakaran dalam geologi marin selama 25 tahun, kepakaran Abdullah telah diiktiraf oleh UMT dengan melantiknya sebagai Profesor Adjung UMT pada Januari 2022 dan ditempatkan di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).
Bapa kepada tujuh anak itu adalah ahli geologi profesional dengan bidang kajian berfokus kepada isu perubahan iklim sejagat khususnya kenaikan paras laut.
Beliau berkata, kajian itu adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia khususnya di Selat Melaka serta akan menjadi rujukan global dalam bidang tersebut.
Antara sumbangan beliau ialah melalui kerjasama JMG dan UMT pada tahun 2019 hingga tertubuhnya jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara. – UTUSAN