KLUANG : Walaupun jarak antara Taman Intan ke Wisma Persekutuan di Kluang hanya kira-kira dua kilometer, namun ramai pengguna jalan terpaksa menempuh perjalanan hampir satu jam akibat berlaku kesesakan berikutan pembukaan sebuah pasar raya baharu di Bandar New Park semalam.
Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa kira-kira 15 minit itu menjadi sesak apabila simpang lampu isyarat ke bandar baharu itu gagal berfungsi menyebabkan ratusan kenderaan beratur panjang untuk membuat pusingan U di lampu isyarat di Taman Desa.
Pengadu, Roslan Kasim, 50, berkata, keadaan ini dijangka berlaku berpanjangan sekiranya lampu isyarat di persimpangan ke bandar baharu itu tidak dibuka untuk beroperasi.
Katanya, keadaan ini sudah pasti akan menyusahkan urusan orang ramai untuk berurusan di Wisma Persekutuan itu kerana hanya satu laluan yang dibuka bagi pengguna jalan membuat pusingan U.
“Oleh yang demikian, kami berharap lampu isyarat di persimpangan itu dapat dibuka sepenuhnya agar tidak mengganggu pengguna jalan untuk berurusan di bangunan kerajaan berkenaan.
“Malah, dalam tempoh sepanjang bulan ini difahamkan banyak kejadian langgar belakang berlaku di laluan berkenaan akibat daripada penambahan kenderaan yang melalui jalan itu.
“Keutamaan yang perlu difikirkan adalah kemudahan orang ramai yang sebelum ini boleh berurusan dengan mudah dan cepat tanpa perlu menghadapi kesesakan jalan,”katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Seorang lagi pengguna jalan, Rahmat Othman berkata, melihat keadaan sesak itu, dia terpaksa mengambil langkah menggunakan laluan jauh untuk ke Wisma Persekutuan itu.
Ujarnya, kesesakan jalan seperti ini jarang berlaku sekiranya tiada berlaku sebarang kemalangan atau apa-apa aktiviti di kawasan berhampiran seperti hari ini.
“Bagaimanapun, kesesakan ini dijangka berpanjangan kerana orang ramai dijangka memberikan tumpuan terhadap pembukaan pasaraya berkenaan dalam masa agak lama,” katanya.-UTUSAN