MELAKA: Bilangan pesakit yang menunggu di wad kecemasan sebelum mereka diberikan katil bagi mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Melaka di sini adalah terkawal walaupun sesak pada satu-satu masa.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem berkata, sukar untuk menentukan jumlah pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan kerana ia berlaku secara bermusim.
Katanya, banyak faktor yang mempengaruhi kesihatan masyarakat contohnya keadaan berjerebu dan cuaca panas yang melanda negara ketika ini.
“Ada masanya wad kecemasan akan dipenuhi orang, tetapi bukan setiap hari. Pesakit tetap mendapat katil walaupun ada tempoh menunggu tetapi ia tidak lama.
“Setakat ini, kesesakan di Hospital Melaka adalah sederhana serta terkawal dan belum sampai ke tahap kritikal lagi. Secara keseluruhan, Melaka mempunyai lebih 2,000 katil termasuk di hospital swasta,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, bagi mengatasi kesesakan di Hospital Melaka, kerajaan negeri mencadangkan kawasan Durian Tunggal sebagai lokasi pembangunan Hospital Besar Melaka yang baharu pada masa akan datang.
Tambah Hee Sem, pemberhentian operasi Hospital Kem Terendak di Sungai Udang turut menyumbang kepada pertambahan jumlah pesakit di Hospital Melaka.
Menurutnya, penutupan sementara itu disebabkan hospital berkenaan sedang dinaik taraf dengan beberapa pembinaan bangunan baharu di tapak asal.
“Hospital Kem Terendak mempunyai kapasiti lebih 100 katil untuk menerima kemasukan pesakit. Bagaimanapun, operasi hospital itu dihentikan bagi memberi laluan kepada pembinaan bangunan baharu.
“Jadi, orang ramai akan ke pusat perubatan terdekat iaitu di Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan. Sebab itu hospital ini ada masanya ramai, ada masanya tidak,” ujarnya. – UTUSAN