Kesan geo-strategi serangan Hamas - Utusan Malaysia

Kesan geo-strategi serangan Hamas

Seorang remaja Palestin dibawa turun daripada runtuhan bangunan di Khan Yunis, di Selatan Gaza, pada Khamis lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Serangan Hamas ke atas Israel minggu lalu betul-betul mengejutkan rejim Tel Aviv. Hamas, yang disenaraikan sebagai salah satu kumpulan teroris antrabangsa, melancarkan serangan hebat dengan membunuh hampir 1,400 orang awam dan tentera Israel. Diberitakan tentera Hamas berjaya menawan pegawai pemerintah tentera Israel untuk dijadikan tebusan.
Bagi penganalisis antarabangsa, tiada elemen kejutan dalam serangan ini kerana perlakuan rejim dan tentera Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza seperti bom jangka yang akan meletus bila-bila masa.
Rejim Tel Aviv seperti biasa melancarkan serangan balas tanpa belas kasihan. Dengan sokongan padu Washington, tentera Israel memusnahkan bangunan dan kemudahan awam seperti hospital dan kediaman penduduk di Gaza. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang merupakan pemimpin Zionist paling keras sehingga kini, memberi amaran agar semua hospital di Gaza dikosongkan bagi mengelakkan serangan bertubi-tubi tenteranya.
Sokongan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Biden terhadap rejim Israel memang dijangka. Hak untuk mempertahankan kedaulatan wilayah Israel adalah hujah utama Washington. Masyarakat antarabangsa yang simpati kepada rakyat Palestin sudah tidak berdaya untuk menyangkal segala sokongan dan bantuan Washington.
Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga tidak bermaya membantu Palestin walaupun untuk kemanusiaan. Tindakan Washington menggunakan kuasa vetonya ke atas usul yang dikemukakan Brazil bagi membenarkan laluan koridor misi kemanusiaan dilakukan menunjukkan kita memerlukan alternatif lain bagi membendung penguasaan AS dalam isu ini. Namun tiada jawapan konkrit diberikan kerana PBB secara logiknya hanya dikuasai lima kuasa besar. Merekalah memerintah dunia sekarang. Negara kecil dan pertengahan adalah seperti bola politik yang mempunyai kedaulatan tersendiri tetapi dengan mudah boleh ‘disepak terajang’ demi kepentingan kuasa besar.
Washington dan Tel Aviv seperti bermain wayang kulit memperdayakan dunia Arab dengan janji manis bahawa dengan mengiktiraf Israel, maka isu negara Palestin dapat diselesaikan. Beberapa negara Arab termakan umpan ini dan kita semua tahu siapa mereka. Tetapi pernahkah kita terfikir sejak Perjanjian Camp David dan pengiktirafan Mesir dan Jordan terhadap Israel, adakah keadaan di Palestin semakin membaik dan terbela? Sudah tentu tidak. Inilah kelicikan Washington dan Tel Aviv.
Nasib baik sehingga kini kuasa terbesar dunia Islam dan Arab, Arab Saudi, masih belum mahu menjalinkan kerjasama rasmi dan mengiktiraf Israel. Negara Teluk lain hanya mampu mengutuk agar siri serangan dihentikan. Ada kalangan mereka menjalinkan hubungan diplomatik dengan Tel Aviv. Adakah mereka menyesal dengan memutuskan atau menggantung hubungan rasmi ini? Kebarangkalian setakat ini tidak mungkin. Ini kerana keputusan menjalinkan hubungan diplomasi perlu dilihat daripada aspek tringulasi hubungan kuasa dengan Washington. Kebanyakan rejim di Negara Teluk ini perlu mendapatkan sokongan politik dan ketenteraan untuk terus berkuasa. Keabsahan mereka dalam kalangan rakyat semakin tercabar sejak insiden Kebangkitan Dunia Arab atau The Arab Spring. Bagi mengimbanginya, Negara Teluk terus melancarkan strategi pembangunan dengan meletakkan mereka sebagai pusat kewangan dan ekonomi terbaharu dunia. Ini sekaligus mengurangkan tentangan rakyat kerana rejim yang berkuasa.
Kuasa besar yang ada di Timur Tengah hanya tinggal Iran yang juga penyokong kuat Hamas. Namun stigma dimainkan AS dengan melabelkan Iran sebagai negara pendokong terorisme tidak membenarkan negara lain untuk bersama Tehran. Namun Iran memberi amaran untuk membantu Hamas malah akan campur tangan jika terbukti AS berbuat demikian.
Secara geo-strategiknya, ekosistem sistem antarabangsa masa kini akan terus membenarkan Israel untuk menjajah bumi Palestin. Tel Aviv akan terus mendapat dokongan sekutu Barat. Bagi sekutu Eropah, yang terbelenggu daripada mimpi ngeri dan rasa bersalah akibat daripada holocaust – peristiwa pembunuhan beramai-ramai kaum Yahudi oleh rejim Hitler – mereka mempunyai seiring dengan AS. Namun, serangan rejim Tel Aviv terhadap beberapa kawasan awam menyebabkan sekutu Eropah ini seperti Jerman dan Perancis agak berhati-hati dengan pendekatan dan dasar mereka.
Jika rakan AS di Eropah berterusan menunjukkan sokongan kepada Washington dengan apa yang berlaku sekarang, dua implikasi utama berlaku; pertama akan wujud serangan balas keganasan di negara mereka oleh bukan sahaja penyokong Hamas tetapi juga kumpulan militan Muslim lain. Kedua, prinsip keselamatan, hak asasi, dan kesejahteraan manusia yang sering diperjuangkan di Eropah akan menjadi bahan jenaka masyarakat antarabangsa. Eropah tidak akan berhak memperjuangkan hak asasi manusia bila mereka sendiri tutup mata dengan tragedi kemanusiaan berlaku di Gaza.
Rusia dan China bukanlah kuasa yang benar-benar jujur untuk memperjuangkan isu Palestin. India pula jelas tidak berpihak kepada Palestin. Tetapi Rusia dan China adalah kuasa yang diharapkan kerana kita tidak mempunyai pilihan. Secara realpolitiknya, kedua-dua negara ini adalah kuasa saing AS. Mereka akan sedaya upaya mempengaruhi pendapat antarabangsa dengan menolak tindakan yang menjadi pertikaian antarabangsa.
Rekod kedua-dua negara kepada penyelesaian konflik politik dan hak asasi manusia adalah buruk. Rusia masih menjadi kutukan antarabangsa kerana tindakan ketenteraannya terhadap Ukraine. AS dan sekutu Eropahnya telah mengepam berbilion dolar bantuan ketenteraan dan ekonomi kepada Kyiv bagi memastikan Moscow berdepan nasib sama seperti mana di Afghanistan lebih 40 tahun lalu.
China pula berdepan defisit kepercayaan dunia Islam berkaitan dasarnya ke atas masyarakat Uighur. Laporan antarabangsa menunjukkan Beijing juga melakukan pembersihan etnik dan agama. Pun begitu kelebihan China, terletak pada kekuasaan ekonominya yang boleh menyaingi AS. China juga berpotensi menjadi kuasa tentera dunia
Keadaan dan kedudukan geo-strategik masa kini tidak mungkin dapat membela Palestin dan rakyatnya. Dunia Islam melalui OIC dan negara Arab lain seperti tidak bermaya dan hanya mampu mengeluarkan kenyataan tanpa tindakan susulan. Kuasa pesaing AS seperti China dan Rusia mempunyai kepentingan strategi tersendiri. Palestin bukanlah keutamaan dasar geo-strategi mereka. AS akan terus menyokong Israel walaupun apa yang berlaku. Yang menderita adalah Palestin.

PENULIS ialah Profesor dan Felo Utama di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya