PETALING JAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan, kerajaan tidak menarik atau membatalkan konsesi beras kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas).
Menurut KPKM, konsesi yang sudah dipersetujui selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031 itu turut melibatkan 10 obligasi sosial Bernas termasuklah menyediakan stok penimbal beras negara.
“Berkenaan tuduhan bahawa penguatkuasaan tidak dijalankan, adalah ditegaskan bahawa Task Force Khas Bersepadu Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) sedang berjalan melalui kerjasama rentas agensi melibatkan Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Bahagian Penguat Kuasa KPDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dengan diketuai oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
“Sehingga kini, terdapat dua kilang telah disita dan disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522],” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai maklum balas terhadap satu mesej palsu tular yang mendakwa lesen beras kepada Bernas ditarik balik selain menuduh kekurangan bekalan beras berlaku berikutan penguatkuasaan tidak dijalankan.
Susulan itu, KPKM memaklumkan, satu aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah dibuat bagi siasatan terperinci.
“Pihak kementerian menasihati orang ramai supaya tidak mempercayai mesej palsu berkenaan dan menyeru agar perbuatan menyebarkan mesej palsu itu dihentikan. – UTUSAN