Kerajaan Terengganu terima dana khas RM405 juta  - Utusan Malaysia

Kerajaan Terengganu terima dana khas RM405 juta 

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU:  Kerajaan negeri Terengganu hanya menerima sebanyak RM405 juta bayaran dana khas Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Disember 2022 hingga September lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut adalah berbeza berbanding anggaran dana khas dalam belanjawan tahun 2023 iaitu sebanyak RM1.5 bilion.

Menurutnya, pembayaran itu dilakukan secara runcit iaitu kali pertama pada 30 Mac iaitu  sebanyak RM50 juta, 18 Mei (RM100 juta) dan pada 14 Jun (RM50 juta).

“Pada 14 Jun juga, sebanyak RM109 juta diterima bagi tujuan pembayaran Projek Bekalan Air Kuala Terengganu Utara (KAJV), seterusnya bayaran 1 Ogos (RM41 juta) dan 21 Ogos lalu (RM55 juta),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hilmi Harun (Pas-Manir) yang ingin tahu berapakah jumlah bayaran dana khas (royalti) yang telah diterima oleh kerajaan negeri dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, menjawab soalan Khazan Che Mat (Bersatu-Seberang Takir) berapakah jumlah lima peratus hasil petroleum yang diterima oleh kerajaan negeri pada tahun 2022, Ahmad Samsuri berkata, jumlah diterima dalam tempoh itu adalah sebanyak RM1.39 bilion iaitu daripada Kementerian Kewangan Malaysia. 

“Hasil petroleum yang sepatutnya dibayar kepada kerajaan negeri Terengganu oleh Petronas telah dibayar terus kepada Kementerian Kewangan Malaysia dan diperakaunkan di bawah Akaun Amanah Dana Khas Kerajaan Persekutuan Seksyen 9 Akta Tatacara Kewangan 1957. 

“Akaun amanah tersebut dikawal selia oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan di bawah Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN