KUALA LUMPUR: Kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November ini selaras dengan pendekatan penyasaran semula subsidi secara berfasa.
Subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C tetap diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.
Perkara itu diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dalam satu sidang media khas di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) hari ini.
Menurut Mohamad, kerajaan masih meneruskan subsidi dan kawalan untuk telur bagi mengelakkan kenaikan harga.
“Kalau ditarik subsidi itu..harga telur dijangka akan naik lebih kurang 10 sen, maka akan berlaku (kenaikan sebab) bila beli telur bukan sebiji, tetapi sepapan dan lebih kurang RM3 (kenaikan jika seppan),” katanya.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, penamatan subsidi secara pukal bagi ayam adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi di mana pada ketika ini yang turut dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Katanya, penamatan harga kawalan ayam juga menyokong kemampanan industri pengeluaran ayam tempatan.
“(Selepas apung harga ayam) Kita tidak boleh dapat agak berapa (peningkatan harga ayam), tetapi ia dalam keadaan terkawa..insya-Allah di bawah harga siling.
“Pihak kita telah berdialog dengan pihak penternak dan pembekal. Mereka sendiri katakan mereka jual sekarang agak murah jauh daripada harga siling, maka harganya agak stabil bila diapungkan nanti,” katanya. –UTUSAN