KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Sarawak tekad menaik taraf sekolah dengan kelengkapan makmal sains bagi tujuan melahirkan pelajar yang mahir dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak sedang menekankan jurusan TVET dan STEM dalam kalangan anak negeri Sarawak.
“Kita perlu mengenal pasti masalah mengapa kita lemah dalam bidang STEM dan salah satunya adalah terdapat sekolah menengah yang bukan sains tidak dilengkapi dengan makmal bagi sesi pembelajaran dan pengajaran (PdP),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peserta Lan Berambeh Anak Sarawak 2023 dalam sesi Town Hall Sarawak Agenda di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Town Hall Sarawak Agenda juga dihadiri Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusoff bersama-sama ahli-ahli Gabungan Parti Sarawak yang turut membincangkan pembangunan negeri Sarawak.
Jelas Johari, pelajar hanya belajar melalui buku teks yang memerlukan penggunaan makmal sains di sekolah khususnya bagi mata pelajaran fizik, kimia dan biologi yang berteraskan sains menjadikan pelajar kurang memahami subjek sains.
Sehubungan itu, kerajaan negeri Sarawak akan membangunkan ‘makmal kongsi’ untuk memperkukuh bidang STEM dan TVET bagi anak-anak Sarawak.
Tambahnya, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM 2 bilion bagi sektor pendidikan di Sarawak.
Johari juga berkata, kerajaan negeri akan meminta kepada kerajaan Pusat supaya urusan menaik taraf sekolah di Sarawak diberikan kepada kerajaan negeri dengan memfokuskan sekolah di bandar dan luar bandar. -UTUSAN