Kerajaan negeri beri insentif untuk Azeem, Sheeren - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri beri insentif untuk Azeem, Sheeren

KHAIRUDIN Abu Hanipah (belakang, empat dari kiri) bersama penerima pada Majlis Penyerahan Laptop dan Program E-Kelas Melalui CSR Maxis Berhad di SMK Malim Nawar di Kampar hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Kerajaan negeri akan memberikan insentif kepada dua atlet negeri, Muhammad Azeem Fahmi dan Sheeren Samson Vallabouy kerana kejayaan merangkul pingat gangsa pada temasya Sukan Asia Hangzou 2023.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, jumlah insentif itu masih dalam perbincangan antara kerajaan negeri dan Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.

Menurutnya, insentif akan diberikan dalam masa terdekat kepada kedua-dua atlet berkenaan.

“Saya ucapkan tahniah di atas kejayaan yang dicapai oleh kedua-dua mereka dan seperti yang semua sedia maklum ia bukan datang dengan mudah sebaliknya memerlukan pengorbanan yang besar.

“Berkaitan dengan insentif ini, sememangnya MSN ada kadar-kadar tertentu untuk pemberiannya bagi atlet negeri Perak yang berjaya mendapat kejayaan yang cemerlang dipersada antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Laptop Dan Program E-Kelas Melalui Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Maxis Berhad di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim Nawar di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi.

Muhammad Azeem, 19, yang diberi jolokan ‘Usain Bolt Malaysia’ berjaya menggondol pingat gangsa dalam acara pecut 100 meter dengan catatan 10.11 saat pada Sukan Asia.

Shereen, 25, merangkul gangsa dalam acara 400 meter wanita dengan catatan 52.58 saat sekaligus menamatkan penantian 17 tahun negara untuk menuai pingat dalam kategori balapan.

Khairudin berkata, semua pihak seharusnya memberi ruang dan peluang kepada kedua-dua atlet itu untuk terus melakar kejayaan tanpa sebarang gangguan yang mampu merencatkan persembahan mereka.

“Kedua-duanya masih muda dan kita kena bagi ruang dan peluang kepada mereka menimba pengalaman dan menjalani latihan dengan lebih gigih agar lebih banyak kejayaan dapat diraih khususnya diperingkat antarabangsa,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya