KUALA LUMPUR: Kerajaan komited menjaga kebajikan warga tentera dengan bertunjangkan konsep Malaysia Madani yang dilihat bukan sahaja bakal memberi faedah kepada mereka, tetapi juga kepada ahli keluarga dan masyarakat di sekitar kem tentera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perumahan adalah selari dengan matlamat kerajaan untuk menjaga kebajikan pasukan pertahanan negara.
“Saya berharap ini bakal menjadi pemangkin agar ketumbukan badan pertahanan negara terus utuh dalam memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap yang terbaik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Perdana Menteri bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Unit Army Red Warrior (ARW), Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD) dan Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR).
Turut hadir sama adalah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak serta pegawai-pegawai kanan kementerian
Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memaklumkan kompleks baharu tersebut bakal dibina di tapak Mukim Si Rusa, Port Dickson dan akan melibatkan pembinaan Pejabat Markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, Dewan Serbaguna, Kemudahan Bilik Latihan, Kemudahan Bilik Penginapan, Padang Kawad, Sirkit Menempuh Halangan, lapang sasar pistol dan lain – lain lagi kemudahan yang akan memberi manfaat kepada PULAPOT dan ARW.
Jelas kementerian tersebut, sebanyak 213 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) dengan pelbagai kelas bakal disediakan untuk anggota ATM yang bakal berpindah.
“(Dilengkapi dengan) kemudahan yang lengkap seperti Kompleks Komuniti, Surau, Sekolah Rendah Agama, Tadika, Taska, Rumah BAKAT dan gelanggang sukan,” katanya.
Sementara itu, bagi perumahan SASaR Wardieburn pula menawarkan 974 unit rumah yang berkeluasan 130.0643 meter persegi dan 139.3546 meter persegi serta menyediakan kemudahan melebihi apa yang digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM).
“Seperti gimnasium, kolam renang dan dua lot parkir bagi setiap rumah. Manakala SASaR Genting Klang pula menawarkan 6,400 unit rumah yang berkeluasan 92.903 meter persegi dan 111.4836 meter persegi serta mempunyai kemudahan asas yang setara dalam DRMM sebagaimana pembangunan perumahan mampu milik yang lain,” jelasnya. -UTUSAN