Kerajaan cadang gubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan

Cadangan gubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan masih diteliti

NIK NAZMI NIK AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan bercadang untuk menggubal Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THA) bagi mengatasi isu pencemaran itu yang dihadapi negara saban tahun.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya kini sedang meneliti perkara itu di peringkat kementerian sama ada ia sesuai dilakukan atau tidak.

Beliau berkata, ketika ini, wujud beberapa kekangan dalam penguatkuasaan THA terutama dari aspek pembuktian dan pendakwaan kerana ia (punca jerebu) berlaku di luar negara.

“Berdasarkan undang-undang sama yang dikuatkuasakan di Singapura, republik itu mengesahkan ada beberapa syarikat sudah dibawa untuk disiasat, namun agak mencabar untuk mensabitkan hukuman ke atas syarikat itu.

“Itu yang kami dapat setakat ini. Sebab itu yang kita rasa perlu dilihat dengan teliti. Kalau betul-betul ada (penggubalan THA), kita nak benda itu membawa makna dan berkesan untuk melindungi rakyat Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Persidangan Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2023 di sini, hari ini.

Katanya, cadangan penggubal akta itu akan turut dibincangkan di peringkat kementerian, agensi kerajaan, Peguam Negara, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak lain bagi mendapatkan pandangan terbaik.

Nik Nazmi berkata, beliau juga akan melihat beberapa model akta dan penguatkuasaan berkaitan jerebu yang diguna pakai negara luar sebelum menggubal THA itu.

Menurutnya, negara jiran Singapura sudah menguatkuasakan akta sama, malah perjanjian kualiti udara antara Amerika Syarikat dan Kanada juga dilihat model terbaik kerana ia lebih komprehensif.

“Kami berpandangan, apabila ada kesanggupan kedua-dua negara untuk terima dan berkongsi dapatan, ia lebih mudah untuk ambil tindakan,” katanya.

Pada 6 Oktober lalu, Malaysia menerusi NRECC telah mengutuskan surat kepada Indonesia bagi menyelesaikan segera Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN