PETALING JAYA: Kerajaan komited memastikan tindakan diambil dalam tempoh 24 jam setelah menerima aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat Ogos lalu, lebih 4,100 jalan berlubang di Jalan Persekutuan telah dikenal pasti dan dibaik pulih.
Justeru itu beliau berkata, kerajaan negeri juga harus memanfaatkan sepenuhnya peruntukan MARRIS berjumlah 5.4 bilion ringgit yang disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi memastikan jalan negeri juga dalam keadaan terbaik untuk kegunaan rakyat.
“Tahun hadapan, 2.8 bilion ringgit disediakan untuk menyelenggara jalan dan jambatan persekutuan dengan 300 juta ringgit dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4. Khidmat Jurutera Daerah akan terus diperkasa bagi segera menangani aduan kecil dan luar jangka melibatkan Jalan Persekutuan.
“Kerajaan akan meningkatkan peruntukan kepada 200 ribu ringgit ketimbang 100 ribu ringgit kepada 115 jurutera daerah dengan peruntukan keseluruhan 30 juta ringgit. 100 juta ringgit disediakan bagi menyelenggara lampu jalan termasuk menggantikan kepada jenis LED yang dapat menjimatkan elektrik sehingga 60 peratus.
“50 juta ringgit turut disediakan untuk tujuan sama di kawasan PBT seluruh negara. Akhir sekali, 50 juta ringgit juga disediakan untuk merawat kawasan berkemalangan tinggi antaranya menaik taraf lampu isyarat sedia ada kepada lampu isyarat pintar di Jalan Persekutuan bagi membantu mengurai kesesakan laluan trafik,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini. – UTUSAN