Keputusan pinda tuduhan Najib 6 November ini

Keputusan pinda tuduhan Najib 6 November ini

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan pihak pendakwaan untuk meminda tiga pertuduhan yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), lima tahun lalu akan diputuskan pada 6 November ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menetapkan tarikh tersebut pada prosiding hari ini yang mana pasukan pembelaan Najib yang diketuai peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sepatutnya berhujah bagi menjawab hujah balas pihak pendakwaan semalam.

Pada 24 Oktober lalu, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan satu pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan dua tuduhan pengubahan wang haram.

Pindaan tersebut menjadikan jumlah penyelewengan dana 1MDB daripada RM2,282,937,678.41 (RM2.28 bilion) kepada RM2,277,577,613.41 (RM2.27 bilion).

Terdahulu, Muhammad Shafee memaklumkan kepada Hakim Sequerah, beliau tidak dapat membuat hujah pada hari ini kerana perlu meneliti keterangan beberapa saksi pendakwaan yang telah memberi keterangan sebelum ini.

“Kami menyediakan dokumen merangkumi (isu-isu yang dibangkitkan) untuk Yang Arif membuat keputusan. Selain keterangan-keterangan Hazem, Tan Sri Zeti, Joanna Yu dan Uma Devi, terdapat beberapa saksi lain yang perlu kami teliti keterangannya bagi melengkapkan dokumen terbabit,” kata Muhammad Shafee.

Beliau turut mencadangkan ada dua tarikh tambahan bagi perbicaraan perbicaraan itu ditetapkan bagi Disember ini.

Pada ketika ini, tarikh sambung bicara kes penyelewengan dana 1MDB itu ialah pada 6 hingga 

Hazem atau nama penuhnya, Mohd. Hazem Abd. Rahman merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB yang juga saksi pendakwaan ke-10 (SP10), saksi pendakwaan ke-37, Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R Uma Devi (SP37), bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping (SP41 dan bekas Gabenor Bank Negara (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz (SP46).

Pihak pendakwaan tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap penangguhan tersebut memandangkan saksi pendakwaan ke-48, Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Asisten Komisioner Foo Wei Min juga tidak dapat menyambung keterangannya kerana cuti sakit akibat gout.

Hakim Sequerah selepas menetapkan 6 November untuk keputusan bagi permohonan pindaan pertuduhan itu, turut memaklumkan, beliau juga akan membuat keputusan berhubung bantahan pembelaan terhadap kemasukan beberapa dokumen perbankan sebagai bahan bukti perbicaraan tersebut.

Bagi pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan, pendakwaan memohon untuk meminda jumlah RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, jumlah yang hendak dipinda ialah daripada RM652,600,000 kepada  RM515,666,277.51 (pertuduhan ke-10) manakala bagi pertuduhan ke-21, pindaan jumlah RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34.

Pada ketika ini, Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan merangkumi empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah bagi dirinya dan 21 kegiatan pengubahan wang haram membabitkan nilai kira-kira RM2.28 bilion. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN