BALING: Pengenalan harga getah kepada RM3 sekilogram yang diumum kerajaan tidak menggembirakan penoreh kerana tidak seimbang dengan kenaikan harga barangan keperluan ketika ini.
Othman Salleh, 71, berkata, walaupun bersyukur tetapi kenaikan itu didakwa akan menyebabkan harga barangan lain terutamanya makanan asas akan turut naik.
“Tidak ada maknanya walaupun harga getah naik tetapi harga barangan makanan seperti beras, gula, minyak, telur dan sebagainya akan ikut naik.
“Ini akan jadi bebanan lebih teruk kepada kami kerana apabila harga sesuatu barang sudah naik, ia tidak akan diturunkan lagi selepas ini sedangkan harga getah naik tetapi dalam tempoh dua tiga bulan ia akan turun semula,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Sebelah, Mukim Siong semalam.
Musa Ismail, 59, pula berkata, sudah tiga tahun dia tidak menoreh disebabkan harga getah yang terlalu rendah sedangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Katanya, harga RM2.80 sekilogram sebelum ini terlalu murah menyebabkan dia beralih kepada pekerjaan lain seperti mengambil upah menebas, bertukang rumah dan sebagainya.
“Dalam tempoh itu saya hanya pergi ke kebun untuk menebas kerana tidak mahu dipenuhi semak. Kini selepas harga naik sehingga RM3 sekilogram saya rasa akan menoreh semula pokok-pokok getah di kebun,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah Negeri Kedah (Pergetah), Mohd. Taufik Yaacob berkata, kenaikan harga getah seperti yang diumumkan itu tidak akan kekal lama sehingga bertahun-tahun.
“Harga tinggi ini hanya sekejap sahaja, mungkin dalam tempoh sebulan dua. Ketika ini memang ramai penoreh getah seronok, tetapi ia akan kembali ke harga asal seperti biasa, kerana itulah yang berlaku setiap tahun,” katanya. – UTUSAN