NIBONG TEBAL: Kementerian Pendidikan (KPM) bertegas tidak akan mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dalam masa terdekat walaupun menerima banyak permintaan daripada kalangan ibu bapa.
Sebaliknya, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beliau mahu memberi tumpuan kepada Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 selain agenda jelajah jerayawara pendidikan masa depan.
“(Oleh itu) saya juga minta supaya ibu bapa bagi tumpuan kepada jelajah jerayawara ini kerana kita mahu libat urus untuk ‘input-input’ berkaitan bagi memperkukuhkan sistem pendidikan negara.
“Sekarang, kita nak bagi tumpuan kepada pentaksiran holistik untuk anak-anak kita khususnya untuk pembangunan mereka secara keseluruhan bagi memastikan antaranya karakter (anak-anak) itu boleh diperkukuhkan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ketika hadir melancarkan program Taman Angkat Amanita Taman Pekaka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah, di sini hari ini.
Sebelum ini, KPM melancarkan Tinjauan Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 secara dalam talian sejak Ogos lalu sebagai langkah untuk membangunkan kurikulum persekolahan yang baharu.
Terdahulu, keputusan untuk memansuhkan UPSR untuk murid Tahun Enam itu dilakukan pada 2021 hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak ia dibatalkan susulan pandemik Covid-19.
Dalam perkembangan berasingan, Fadhlina meminta mana-mana pihak yang mengesan berlakunya sebarang ‘ketirisan’ dalam isu penyaluran dana sebanyak RM70,000 untuk membaiki tandas sekolah membuat laporan terus kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Laporkan sahaja kepada SPRM apa-apa (berkaitan salah guna dana untuk tandas sekolah). Kita memang buat pemantauan tapi kalau ada sebarang isu, saya minta untuk dilaporkan kepada mereka (SPRM) supaya ‘kecurangan-kecurangan’ ini dapat kita tangani di peringkat autoriti,” ujar beliau.
Tambah Fadhlina, dakwaan tersebut bagaimanapun tidak merencatkan perkembangan penyaluran dana berkenaan kerana maklum balas yang diterima daripada pihak sekolah setakat ini sangat memberangsangkan.
“Penyaluran dana ini kita akan buat secara berfasa termasuk kepada SBK (Sekolah Bantuan Kerajaan),” katanya. – UTUSAN