Kembalikan harga belian padi RM1,700

Kembalikan harga belian padi RM1,700

Harga belian padi perlu dikembalikan kepada RM1,700 satu tan sehingga habis musim menuai bagi memastikan pesawah tidak menanggung beban dan kerugian yang tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga belian padi perlu dikembalikan kepada RM1,700 untuk satu tan sehingga habis musim menuai bagi memastikan seluruh pesawah tidak menanggung beban serta kerugian yang tinggi.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Mohd. Fuad Yaacob berkata, harga belian padi yang jatuh pada RM1,250 hanya membunuh lebih ramai pesawah dan menghalang mereka daripada keluar dari kepompong kemiskinan.

Katanya, harga belian yang rendah tersebut turut menjatuhkan motivasi pesawah untuk mengerjakan bendang dan menuai hasil serta ini dikhuatiri menjejaskan bekalan beras putih tempatan negara.

“Kalau keadaan seperti ini berterusan, kos meningkat dan keadaan cuaca pula tidak menentu. Mungkin nanti petani buat bendang hanya untuk sara keluarga sahaja, tidak lagi bertungkus-lumus untuk menghasilkan lebih banyak untuk negara.

“Jadi, kita berharap pada beras import sahajalah. Kalau kerajaan nak kami hasilkan pengeluaran yang tinggi, kerajaan perlu bantu sebab kosnya tinggi bukan seperti ini harga beliap sekejap turun, sekejap naik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, kumpulan pesawah meluahkan rasa kecewa apabila harga belian padi jatuh daripada RM1,700 ke RM1,250 yang ditetapkan oleh pengilang sehingga menyebabkan mereka mengalami kerugian besar.

Kumpulan pesawah tersebut mendakwa agensi yang bertanggungjawab untuk menjaga hak mereka ‘lepas tangan’ dan membiarkan harga padi ditentukan oleh pengilang sendiri.

Mohd Fuad berkata, kerajaan perlu menjawab mengenai penurunan tersebut dan tidak terus membisu kerana jika tidak, kumpulan pesawah akan terus terbeban dengan pelbagai kos tetapi menerima pulangan tidak munasabah.

Tambahnya, perbincangan melibatkan semua pemain industri dalam rangkaian pengeluaran beras tempatan perlu dilakukan bagi mencari satu titik persefahaman yang sama supaya penyelesaian dilakukan diterima semua pihak.

“Nak buat satu perkara itu, kita perlu duduk bincang secara bersama dan serius, bagi masa yang secukupnya untuk dengar masalah apa kami hadapi supaya kementerian bertanggungjawab boleh fikir solusi terbaik untuk semua.

“Bukan hanya dengar cakap individu-individu tertentu yang tidak berada di lapangan, tetapi di bilik yang mempunyai hawa dingin dan mengumpul maklumat daripada media sosial sahaja. Kerajaan perlu turun ke bawah bersama kami untuk realiti sebenar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya