Kemalaran muzik Butterfingers - Utusan Malaysia

Kemalaran muzik Butterfingers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA masa, kita perlu memakai kanta berbeza untuk menilai sejarah dan perkembangan muzik. Seringkali, artis yang diiktiraf berjaya adalah mereka yang mampu mengumpul jutaan peminat atau jualan album. 

Contohnya, orang ramai mungkin lebih kenal kerja seni album Unknown Pleasures berbanding nama Joy Division sendiri tetapi kugiran itu bertanggungjawab atas perkembangan muzik alternatif dunia, terutamanya untuk genre post-punk, new wave dan juga grunge. 

Kita juga sukar nak pisahkan persona Ian Curtis dari muzik Radiohead atau The Cure.

Saya juga boleh petik The Velvet Underground atau Sex Pistols yang pastinya asing pada telinga peminat muzik semasa tetapi tanpa mereka, akan wujudkah Joy Division dan kugiran-kugiran lain dalam rantaian mempengaruhi-dipengaruhi ini? 

Mereka semua bukanlah The Beatles atau Elvis Presley atau Beyonce atau Bruno Mars tetapi jejak muzik yang ditinggalkan begitu signifikan kerana menginspirasikan penubuhan kugiran lain. 

Itu jasa terbesar Butterfingers bagi saya. Dalam konteks tempatan, mereka mungkin bukan kugiran paling popular tetapi baktinya bukan kecil. Mungkin di puncak industri muzik Malaysia kita tak akan jumpa album 1.2 Miligrams, Transcendence atau Malayneum. 

Pandangan kita kabur kalau menilai Butterfingers dengan kanta kejayaan komersial. Namun, kalau kita pasang kanta muzik sebagai fenomena sosial, wajah Emmet (vokal), Loque (gitar), Kadak (bass) dan Loko (dram) akan terpampang. 

Agak ironi sebenarnya kerana benih inspirasi Butterfingers subur di lapangan muzik independen walaupun secara praktis, Butter ngers bukan kugiran independen. 

Sejak awal mereka sudah dilamar syarikat rakaman gergasi. Tetapi kerana muzik dan sikapnya alternatif, mereka banyak menginspirasi kugiran yang kurang cocok dengan arus perdana. 

Ini termasuk Hujan, Iqbal M. dan A. Limin. Itu baru yang terinspirasi dengan satu album, iaitu Selamat Tinggal Dunia. 

Butterfingers antara pendiri awal muzik grunge di Malaysia dan tanyalah manamana kugiran grunge yang ada sekarang, berapa besar pengaruh Butterfingers kepada muzik mereka? Dengan diskografi yang mewah dan lagu-lagu ikonik, Butterfingers memang layak dikenang sebagai kugiran legenda. Konsert solo kedua dalam tempoh empat tahun.

KONSERT TERTANGGUH

KONSERT Malayneum 23 sepatutnya diadakan pada 2021 sempena ulang tahun ke 20 album itu tetapi pandemik jadi aral. Tahun ini ia bakal terealisasi.

Seperti Konsert Transcendence pada 2019, malam 7 Oktober di Stadium Malawati, Shah Alam bakal menjadi ‘hari raya’ yang meraikan penerbitan Malayneum – album yang mengejutkan ramai orang malah mendatangkan kemarahan syarikat rakaman mereka.

Melalui Malayneum, Butterfingers mengambil simpang keluar dari jalan selesa yang mereka bina hasil kejayaan besar Transcendence. Lumrah anak seni, jalan selesa itu

membosankan. Mereka mahu pembaharuan dan cabaran.

Maka lahirlah Malayneum yang lebih psikedelik dan progresif, menjadi permulaan untuk perubahan bunyi Butterfingers yang diteruskan dalam album-album seterusnya selepas itu.

Menurut Kadak, fasa Malayneum adalah fasa mereka semua – seperti yang banyak disebut anak muda sekarang sedang healing. Sebab itu, dari segi bunyi, ia kurang keras.  Dari segi lirik, ia lebih mendalam dan agak peribadi.

“Begitu juga sebab genre. Grunge bukan genre yang kita boleh ulang banyak kali,” kata Emmet, mengulas perubahan bunyi yang berlaku dalam Malayneum.

Ketika itu, anggota Butterfingers banyak terpengaruh dengan bunyian dari British. Kugiran-kugiran britpop dan britrock menjadi warna baharu dalam karya mereka.

HADIAH ISTIMEWA

ADA banyak hal yang dirancang Butter ngers untuk konsert Malayneum 23 pada 7 Oktober ini. Jika anda mendengar album Malayneum sendiri, anda tahu konsertnya tidak boleh biasa-biasa. 

Album ini melibatkan bunyian yang lebih pelbagai. Ada penggunaan instrumen alat tali dan alat tiup yang mewah pada beberapa lagu. Malah, pastilah konsert itu tidak hanya diisi lagu-lagu dari Malayneum. 

Ada beberapa lagu yang tidak pernah dimainkan secara langsung oleh Butterfingers juga selain trek-trek ikonik dari album lain. 

“Konsert ini akan lain. Dia bukan macam Butterfingers dalam Nusafest atau konsert Transcendence dulu. Dia Butterfingers yang lebih ‘dalam’,” kata Loque. 

“Akan ada beberapa bahagian, beberapa tema, banyak warna. Malayneum ini tentang kehidupan harian. Akan ada jalan cerita, dari muka ketat ke muka lega sikit,” sambut Emmet. 

Perincian lain akan disimpan sebagai kejutan, kata Emmet tetapi melihat kepada klip-klip latihan yang dimuat naik ke media sosial, sememangnya konsert itu dijangka istimewa untuk semua peminat Butterfingers. 

Konsert Malayneum 23 akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 7 Oktober ini. Segala kerinduan peminat akan terubat pada malam itu dengan barisan lagu-lagu nostalgia dari Butterfingers. 

Butterfingers sudah mencapai tahap tinggi: mampu bikin konsert solo yang ditunggu-tunggu peminat. Harapnya, mereka terus bersemangat untuk bikin konsert sebegini. 

Mana tahu, pada 2025 kita dapat saksikan konsert ulang tahun ke-20 Selamat Tinggal Dunia pula, kemudian ulang tahun ke-30 1.2 Miligrams pada 2026, ulang tahun ke-30 Butter Worth Pushful pada 2027 dan akhirnya – yang saya tunggu-tunggu – ulang tahun ke-20 Kembali pada 2008.

KRISIS MUDA

SATU hal yang saya baru sedar ketika menemu ramah mereka, Malayneum dihasilkan ketika masing-masing berusia dalam lingkungan 24 hingga 26 tahun. Kerana sepanjang pengalaman mendengar diskografi Butterfingers, saya tidak  fikir banyak tentang usia mereka ketika album diterbitkan. 

Yang saya yakin, Malayneum ditulis dengan matang dan kaya pengalaman. Tetapi usia 24 hingga 26 tahun tidaklah begitu tua. Kalau dibanding dengan diri sendiri, tidak banyak penerokaan jiwa yang berlaku ketika saya di usia itu. 

“Sangat menarik untuk kami dekati semula sebuah album matang yang ditulis oleh budak-budak yang sedang membesar dan cuba menjadi matang. 

“Sekarang kami dah jauh melepasi kematangan. Menarik untuk lihat kembali (album itu),” kata Emmet. 

Yang terkandung dalam album itu mungkin tumpahan krisis suku hayat yang dialami anggota Butterfingers. Kata Loque, pada usia itu mereka mula mempertikai banyak benda. 

“Banyak ‘injap’ yang terbuka waktu itu tentang masalah sosial, ketidakseimbangan kehidupan. Sudah lebih mendalam. 

“Tapi banyak juga yang kami belum jumpa. Waktu itu kira pintu dah mula buka. Hanya benih-benih yang ada,” katanya. 

Antara lagu yang mencerminkan semangat itu ialah Paci c, kongsi Loque. Persoalan identiti, kemodenan dan globalisasi dimasukkan dalam bait-bait lirik. Ini juga antara sebab Malayneum istimewa kerana ia merekodkan dilema identiti anak muda mendepani peralihan alaf dari abad ke-20 memasuki abad ke-21. 

Mudah kata, kritikan-kritikan sosial yang lebih jelas disampaikan Butterfingers melalui Selamat Tinggal Dunia dan Kembali, benihnya bercambah dalam Malayneum. 

“Kami pun banyak berborak tentang perkara-perkara ini. Tentang kebendaan, orang suka tunjuk harta. 

“Waktu itu orang dah tak grunge, dah tak nak jadi selekeh. Orang nak jadi poyo. Kami banyak persoalkan benda seperti status, bagaimana kita pandang orang Melayu ini rendah,” kongsinya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya