Kelulusan sijil halal dipendekkan dalam tempoh 23 hari bekerja

Kelulusan sijil halal dipendekkan dalam tempoh 23 hari bekerja

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (kiri) ketika sidang akhbar selepas mesyuarat Majlis Pembangunan Halal di Putrajaya. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Proses dan prosedur kelulusan permohonan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) akan dipendekkan kepada tempoh 23 hari bekerja berbanding sekurang-kurangnya sembilan bulan mengikut amalan sebelum ini.

Keputusan segera itu dicapai pada mesyuarat Majlis Pembangunan Halal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini, hari ini.

Ahmad Zahid dalam sidang akhbar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) akan bekerjasama rapat bagi memendekkan tempoh kelulusan permohonan itu.

Menurutnya, arahan beliau sebelum ini adalah dalam tempoh 30 hari, namun ia kemudian dipendekkan dalam masa 23 hari.

“Kami menerima banyak aduan kelulusan dan pengeluaran sijil halal dilakukan dalam tempoh yang terlalu panjang, malah ada yang mencecah sehingga dua tahun.

“Kelewatan pengeluaran SPHM yang terlalu lambat menyebabkan kelewatan dalam pengedaran produk halal untuk pasaran domestik dan luar negara,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, setakat ini, belasan ribu permohonan SPHM sudah diluluskan dan pihaknya menjangkakan puluhan ribu pihak dijangka mendapat manfaat daripada keputusan terbaharu ini.

Beliau berkata, sebagai permulaan, HDC dan pihak berkaitan akan melaksanakan proses permohonan baharu sijil halal menerusi ‘proof of concept’ (POC) membabitkan lima premis perhotelan sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bagi melihat kelancaran proses itu.

Menurutnya, HDC juga akan menganjurkan bengkel dikenali ‘Halal On Track’ di Universiti Malaya (UM) pada 9 Oktober ini bagi memberi penerangan mengenai prosedur permohonan berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat juga bersetuju untuk memperkasakan siri diplomasi halal dengan kerjasama Kementerian Luar serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi mempromosikan produk halal tempatan ke luar negara.

“Dalam lawatan rasmi atau kerja nanti, menteri serta Perdana Menteri akan terbabit (mempromosi) produk dan perkhidmatan halal tempatan kepada negara yang dilawati,” katanya

Sementara itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz pada sidang akhbar sama berkata, siri diplomasi halal terbaharu akan berlangsung di United Kingdom pada 27 hingga 28 Oktober ini bersempena Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) 2023.

“Siri diplomasi halal ini bagaimanapun sudah bermula di Vietnam dan Filipina sempena lawatan Perdana Menteri ke dua negara itu sebelum ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya