Keluarga Hamza kekal di Rimal, tidak mahu peristiwa Nakba berulang

Keluarga Hamza kekal di Rimal, tidak mahu peristiwa Nakba berulang

HAMZA Nasri (kanan) dan seorang lagi pelajar UUM dari Palestin, Islam Mohammed Hashim Alhadmi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Ahli keluarga pelajar dari Palestin, Hamza Nasri masih berada di kawasan kediaman mereka di Rimal, Gaza walaupun tidak berada di dalam pangsapuri yang menjadi sasaran rejim zionis.

Hamza, 19, yang merupakan pelajar Sarjana Muda Perakaunan di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, bapanya, Nasri M. Alifranji, 55, seorang doktor gigi dan ibunya, Rima Alrayes, 49, bersama tiga adik beradiknya kini berlindung di kawasan meletak kenderaan.

Katanya, walaupun berada jauh dari Palestin, setiap hari dia hanya memikirkan nasib ahli keluarganya di samping perlu fokus dalam pengajian dan bersyukur apabila mereka masih terselamat sehingga ke hari ini.

“Sekarang arahan dikeluarkan supaya penduduk Gaza mengosongkan kediaman masing-masing tetapi keluarga saya tidak berpindah kerana mereka tidak mahu peristiwa Nakba dan Insha-Allah mereka akan hidup.

“Saya berdoa kemelut ini berakhir dan rakyat Palestin selamat. Saya juga berharap kami dapat bina semula Palestin dan dapat tinggal bersama keluarga masing-masing tanpa sebarang tekanan, takut, risau dan dapat menikmati kehidupan yang aman,” katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini, arahan tentera Israel yang meminta lebih sejuta penduduk Palestin meninggalkan kediaman di utara Gaza dilihat seolah-olah mengulangi peristiwa Nakba yang berlaku pada 1948. 

Sementara itu, Hamza yang mula menyaksikan peperangan di negaranya sejak berusia empat tahun berkata, hampir setiap jam dia cuba menghubungi keluarga di Palestin untuk bertanyakan perkembangan mereka.

GAMBAR semasa kesan serangan rejim zionis yang dikongsikan pelajar Palestin dengan pihak UUM.

“Adakala saya terpaksa tunggu lama untuk mendapatkan maklum balas semasa ahli keluarga di Rimal. Saya juga mendapatkan bantuan rakan-rakan di sana untuk menghubungi keluarga bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat,” katanya.

Tambahnya, dia pernah melihat sendiri bangunan kediaman di kawasan kejiranannya musnah teruk akibat letupan bom pada jarak kira-kira 300 meter sahaja hingga dia merasakan gegaran kuat, selain menyebabkan tingkap rumahnya pecah.

Hamza berkata, selepas tamat pengajian kelak dia ingin kembali ke Palestin dan berbakti kepada rakyat di sana dengan mengajar mereka setelah menimba ilmu dan pengalaman di UUM.

“Saya berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang sangat baik dan saya anggap Malaysia sebagai rumah kedua kerana tidak membuatkan saya seperti orang asing,” katanya.

Sementara itu, pelajar Sarjana Muda Keusahawanan UUM dari Palestin, Islam Mohammed Hashim Alhadmi, 21, yang berasal dari Hebron turut pernah melalui situasi sama akibat peperangan apabila tentera Israel memecah masuk kediaman mereka pada waktu malam dan merosakkan harta benda di dalamnya.

“Kami melalui situasi yang berbeza berbanding penduduk di Gaza kerana kawasan kami berhampiran dengan peneroka haram Yahudi dan tentera Israel di mana mereka boleh masuk mana-mana rumah pada bila-bila masa walaupun waktu malam.

“Mereka juga pernah musnahkan kereta abang saya, namun tiada apa mampu dilakukan ketika itu kerana kami tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghalang tindakan mereka,” katanya.

Islam berkata, dia pernah terputus hubungan dengan keluarga, namun dimaklumkan mereka dalam keadaan baik malah ibu bapanya meminta dia menjaga diri sepanjang berada di Malaysia. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya