PETALING JAYA: Kepadatan kelas dengan murid menyebabkan guru terpaksa menggunakan pembesar suara yang digantung di leher mereka bagi memastikan apa diajar dapat didengar lalu difahami dengan jelas oleh murid-muridnya.
Pakar pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, situasi tersebut yang dilihatnya itu ketika melakukan lawatan ke sesebuah sekolah disifatkan sebagai satu situasi yang ‘aneh’.
“Apakah dengan menggunakan pembesar suara yang digantung di leher guru seperti ini, kita boleh terima sebagai solusi terbaik kepada amalan pengajaran dan pembelajaran di sekolah sesak murid, khususnya di sekolah rendah? Tentulah tidak.
Amalan pengajaran dan pembelajaran berkualiti di sekolah rendah memerlukan guru membimbing murid secara individu dan ‘hands on’. Misalnya, guru perlu ke meja murid untuk menunjuk cara dan membimbing murid bagaimana untuk berlatih menulis, membaca dan mengira dengan betul. Bukan sekadar bercakap di depan kelas menggunakan pembesar suara yang tergantung di leher,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Dr. Anuar berkata, guru-guru terpaksa menggunakan alat pembesar suara tersebut meskipun tidak selesa bagi memastikan murid yang ramai di dalam kelas dapat mendengar suara mereka dengan lebih jelas
“Bayangkan keriuhan kelas tersebut. Terjerit-jerit guru mengajar. Guru-guru mengajar bukan satu kelas sahaja tetapi lima ke enam kelas setiap hari.
“Ada yang lebih. Untuk mengajar selama 40 minit di setiap kelas secara berterusan, pasti akhirnya suara guru tenggelam. Maka, mereka terpaksa menggunakan pembesar suara yang tergantung di leher masing-masing.
“Apakah amalan sebegini yang kita mahukan dan impikan ketika kita begitu riuh dan bangga bercakap tentang Pembelajaran Abad Ke-12 (PAK21) dan Transformasi Sekolah,” katanya.
Tambahnya sesebuah kelas di sekolah sepatutnya dihadkan seramai 24 orang sahaja.-UTUSAN