Kekalkan atau tarik balik pertuduhan terhadap Najib -Shafee

Kekalkan atau tarik balik pertuduhan terhadap Najib -Shafee

NAJIB TUN RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak mendakwa tindakan pihak pendakwaan meminda tiga pertuduhan yang dihadapi bekas Perdana Menteri itu selepas lima tahun dituduh di mahkamah bukanlah dilakukan dengan niat baik.

Menurut peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, pihak pendakwaan mengetahui mengenai perbezaan jumlah yang dikatakan diseleweng oleh anak guamnya, namun, tidak berbuat apa-apa mengenainya.

Tambahnya, pendakwaan sepatutnya membuat pindaan sebaik sahaja menyedari mengenai perbezaan jumlah itu.

Pada ketika itu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah mencelah dan bertanya adakah peguam itu cuba memberikan bayangan bahawa pendakwaan mempunyai motif tidak wajar ketika mendakwa bekas Ahli Parlimen Pekan itu.

“Saya tidak mengatakan mereka (pendakwaan) sengaja (melakukannya), tetapi, mereka `duduk’ atas jumlah sebenar sejak lima tahun lalu,” katanya.

Hakim itu kemudian bertanya kepada Muhammad bagaimana pindaan terhadap jumlah dalam pertuduhan boleh memprejudiskan Najib sedangkan jumlah selepas pindaan adalah jauh lebih rendah.

“Ia akan memprejudiskan pembelaan kami, akan menyebabkan pembelaan kami menjadi kelam kabut. Ia seolah-oleh menyatakan seseorang mencuri ayam tapi sebenarnya mencuri itik,” kata Muhammad Shafee.

Oleh itu, perkara yang wajar dilakukan ialah mengekalkan pertuduhan sedia ada atau menarik balik tiga pertuduhan tersebut.

Semalam, pihak pendakwaan mengemukakan permohonan untuk meminda tiga pertuduhan membabitkan satu pertuduhan membabitkan salah guna kedudukan bagi mendapatkan rasuah dan dua tuduhan pengubahan wang haram.

Pindaan tersebut menjadikan jumlah penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada RM2,282,937,678.41 (RM2.28 bilion) kepada RM2,277,577,613.41 (RM2.27 bilion).

Bagi pertuduhan salah guna kedudukan bagi mendapatkan suapan, pendakwaan memohon untuk meminda jumlah RM49,930,985.70 kepada RM44,570,920.70.

Bagi pertuduhan pengubahan wang haram, jumlah yang hendak dipinda ialah daripada RM652,600,000 kepada  RM515,666,277.51 (pertuduhan ke-10) manakala bagi pertuduhan ke-21, pindaan jumlah RM12,436,711.87 kepada RM11,411,646.34.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib ketika membalas hujahan tersebut berkata, pindaan tersebut tidak mengubah fakta bahawa wang tersebut adalah hasil aktiviti haram.

Tambahnya, pindaan tersebut juga tidak memprejudiskan Najib kerana pasukan pembelaannya masih berpeluang untuk memanggil semula atau menyoal balas saksi-saksi pendakwaan.

Selain itu, seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar memberitahu, tiada niat jahat daripada pendakwaan dalam memohon pindaan tersebut.

“Kes ini adalah satu kes yang rumit sebagaimana dihujahkan oleh kedua-dua pihak terutamanya berhubung transaksi berlapis (layering). Jadi, bagi kami (pendakwaan) ialah jumlah yang diterima oleh Najib dalam akaunnya dan itu adalah fakta. Isu utama ialah sama ada wang tersebut hasil aktiviti haram atau sebaliknya,” kata Kamal Baharin.

Prosiding bersambung esok.

Ketika ini, Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan merangkumi empat pertuduhan salah guna kedudukan sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB untuk mendapatkan rasuah bagi dirinya dan 21 kegiatan pengubahan wang haram membabitkan nilai kira-kira RM2.28 bilion. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN