Keenakan kopi Ipoh hingga ke Batu Gajah

Keenakan kopi Ipoh hingga ke Batu Gajah

HASNI Nun yang mengusahakan Kafe Kopi dan Pancing’ di bandar Batu Gajah bersama suaminya, Muhamad Rizuan Ibrahim. – UTUSAN/ LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Ipoh sememangnya sudah sinonim dengan gelaran ‘pekan kopi’ dan kini perniagaan minuman itu dilihat semakin berkembang hingga ke bandar Batu Gajah menerusi pembukaan banyak kafe yang menyaji minuman tersebut.

Melihatkan potensi itu, ini mendorong seorang bekas jururawat tidak mahu ketinggalan menerokai perniagaan minuman kopi menerusi pembukaan ‘Kafe Kopi dan Pancing’ di bandar Batu Gajah.

Hasni Nun, 35, berkata, Kafe Kopi & Pancing yang dibuka tahun lalu di tengah-tengah pekan lama Batu Gajah semakin menarik penggemar kopi ke bandar tersebut.

Berdasarkan sambutan daripada pelanggan, dia melihat kopi tidak sekadar minuman tetapi sebagai antara tarikan pelancong ke Ipoh dan Batu Gajah.

“Ipoh sememangnya sudah terkenal dengan minuman kopi dan saya melihat trendnya semakin berkembang dan meluas sehingga ke bandar Batu Gajah. Kafe kami terletak di tengah bandar ini, di satu lokasi yang mudah dikunjung, menarik perhatian untuk pelanggan bersantai sambil menikmati kopi.

“Di sini terdapat lukisan mural untuk pelanggan merakamkan gambar, ini antara tarikan di kafe ini selain keenakan minuman yang kami sajikan,” katanya.

Katanya, perniagaannya dibuka pukul 3 petang sehingga 11 malam dan bagi pelanggan yang datang pada waktu siang, lukisan mural jelas menarik perhatian selain pada waktu malam kerana pencahayaan di kawasan itu sangat terang.

Menurut Hasni, pembukaan Kafe Kopi & Pancing di kawasan pekan lama Batu Gajah ini juga merupakan salah satu usaha pihaknya untuk memberikan pilihan kepada pelancong ke daerah itu sempena Tahun Melawat Perak 2024.

“Kafe ini hanya 6.4 kilometer dari Kellie Castle dan hanya 2.5 kilometer dari Galeri Rumah Lat serta Silverlakes Village Outlet yang bakal dibuka sepenuhnya tidak lama lagi. Kapal korek Tanjung Tualang (TT5) pula hanya sembilan kilometer dari sini.

“Saya percaya Batu Gajah akan menjadi tumpuan pelancong sempena Tahun Melawat Perak 2024, selain melawat destinasi menarik, mereka juga singgah menikmati kopi di Batu Gajah,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, peniaga sepertinya juga mempunyai peranan membantu kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Saarani Mohamad untuk menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030, yang antara lain meningkatkan ekonomi masyarakat melalui perniagaan.

Sehubungan itu, Hasni mengharapkan kerajaan negeri terus membantu peniaga sepertinya untuk mengembangkan lagi perniagaannya yang semakin maju dan mendapat sambutan.

“Harapan kami kerajaan negeri dapat membantu dalam menyediakan geran atau pinjaman tanpa faedah untuk membantu pengusaha yang ingin menceburi perniagaan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya