Kedah harap peruntukan pelancongan diagih sama rata  

Kedah harap peruntukan pelancongan diagih sama rata  

MUHAMMAD Sanusi Md. Nor (tengah) bergambar bersama sebahagian daripada 530 peserta Winger Camaraderie Ride di Dataran Medan Bandar, Alor Setar, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kerajaan negeri berharap peruntukan RM250 juta untuk sektor pelancongan dalam Belanjawan 2024 dapat diagihkan sama rata sekali gus merancakkan industri berkenaan di negeri ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya difahamkan Kedah menyumbang sebanyak RM8 bilion kepada hasil pelancongan negara setakat ini. 

“Sektor pelancongan dari Kedah sahaja saya difahamkan dapat sumbang RM8 bilion kepada sektor pelancongan, jadi kena belanja balik untuk kemudahan itu. Semua negeri berharap macam itulah (peruntukan) diagih sama rata.  

“Kita ada tempat menarik lagi yang boleh dijelajah seperti Sungai Batu di bawah Jabatan Warisan Negara, tanah (milik) mereka walaupun duduk di Kedah. 

“Jadi Jabatan Warisan Negara kalau boleh dapat bajet untuk itu dan promosi untuk popularkan Sungai Batu sebagai destinasi pelancongan tapak tamadun awal Asia Tenggara iaitu 700 tahun Sebelum Masihi berkaitan industri besi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas hadir memeriahkan program lawatan penggemar motosikal berkuasa tinggi, Winger Camaraderie Ride di Dataran Medan Bandar di sini hari ini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan memperuntukkan RM250 juta bagi mempromosikan sektor pelancongan menerusi Belanjawan 2024 yang dibentang di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi meminta kementerian terlibat mengambil tindakan mengatasi masalah pengangkutan feri Langkawi yang menjadi isu utama yang didakwa merencatkan pemulihan industri pelancongan pulau tersebut selepas pandemik Covid-19. 

“Langkawi tak merudum sangat. Seluruh dunia selepas Covid-19 ini, baru nak pulih kalau kita pernah catat kunjungan 3.2 juta kedatangan pelancong di Langkawi okeylah. 

“Cuma kita dapat rungutan tentang feri iaitu kekerapan kurang. Harap Kementerian Pelancongan dapat ambil tindakan. Masalah feri ini adalah pengusaha feri yang bila untung jalan, tak untung tak jalan, kalau macam itu siapa pun boleh berniaga,” katanya. 

Katanya, kerajaan negeri akan merancakkan sektor pelancongan Kedah termasuk mengadakan Kempen Mai Singgah Alor Setar tahun depan untuk memperkenal keunikan bandar raya ini. 

“Tahun depan kita ada program Mai Singgah Alor Setar sempena untuk perkenal bandar Alor Setar sebagai bandar raya yang berusia 200 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya