Kecoh isu menantu hingga Shahidan sebut ‘bangsat’ - Utusan Malaysia

Kecoh isu menantu hingga Shahidan sebut ‘bangsat’

MUHYIDDIN Yassin ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat semalam. – JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu menantu Pagoh yang melarikan diri ke luar negara sejak Mei lalu menghangatkan sesi Dewan Rakyat selepas seorang ahli Parlimen kerajaan membangkitkan perkara tersebut kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ahli Parlimen Kota Melaka daripada DAP, Khoo Poay Tiong sebelum itu mencelah dan bertanya mengenai keputusan kerajaan sebelum ini membenarkan konsesi Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) selama 10 tahun bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031 ketika Muhyiddin mentadbir Kerajaan Persekutuan sehingga negara berdepan isu kekurangan beras.

Namun beliau secara tiba-tiba menambah dalam soalan tambahannya dengan menyebut menantu Muhyiddin iaitu Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan yang tidak pulang ke tanah air untuk berdepan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Muhyiddin kemudian me­minta Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yieng mengarahkan Poay Tiong menarik balik kenyataan tersebut.

“Perkara dibangkitkan Kota Melaka tentang menantu saya dibuat dengan niat jahat. Saya minta dia tarik balik. Perkara ini (beras) yang kita bahas, bukan soal itu,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat semalam.

Suasana dewan terus tidak terkawal menyaksikan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit dan mengeluarkan perkataan ‘bangsat’.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudian meminta supaya Shahidan menarik balik cercaannya terhadap Poay Tiong.

Bagaimanapun Shahidan te­tap mempertahan tidak me­nujukan perkataan itu kepada sesiapa, sebaliknya apa yang dianggapnya sebagai pelabelan umum dan tidak tertuju kepada individu tertentu.

“Saya tidak rujuk kepada sesiapa. Saya hanya lepas geram terhadap Kota Melaka,” katanya.

Kiong Yieng pula mengarahkan Poay Tiong menarik balik kenyataannya berkenaan menantu Muhyiddin, namun enggan berbuat demikian sebaliknya cuba memberi penjelasan lanjut.

Pun begitu, ia tidak berhenti setakat itu, malah situasi bertambah hangat sehingga me­ngundang beberapa ahli Parlimen pembangkang yang mahu Poay Tiong menarik balik kata-katanya.

Beliau dilihat masih berdegil sehingga memaksa Kiong Yieng mengarahkannya supaya me­ninggalkan dewan dan hanya dibenarkan masuk semula selepas waktu rehat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN