Kecelaruan industri padi, beras negara sudah tahap kronik - PeSAWAH

Kecelaruan industri padi, beras negara sudah tahap kronik – PeSAWAH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyifatkan kecelaruan industri padi dan beras di negara ini sudah mencapai tahap kronik dan ‘gila’ berikutan tekanan dihadapi petani selain ketiadaan beras putih tempatan di pasaran.

Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, apa yang berlaku ketika ini menunjukkan situasi yang tidak sepatutnya serta wujud campur tangan pihak tertentu terutama kartel dalam industri tersebut.

“Belum selesai isu beras putih tempatan, tiba-tiba petani berdepan pula tekanan harga belian padi di kilang yang jatuh mendadak daripada RM1,700 kepada RM1,200.

“Petani makin tersepit apabila semua kos melibatkan benih, jentera dan sewaan bendang meningkat tetapi harga padi pula menurun. Penurunan harga secara drastik itu sudah tentu mendatangkan kerugian besar kepada petani,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas turut sama berhimpun secara aman bersama hampir 200 petani bagi menuntut kerajaan memberi perhatian terhadap isu terbabit di Kampung Lahar Budi, Mukim Derga di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, antara faktor utama yang membawa kecelaruan itu selain penguasaan kartel adalah mekanisme harga kawalan yang sudah tidak sesuai kerana tidak pernah dikaji sejak 2008.

Katanya, sudah tiba masa untuk harga siling beras putih tempatan dinaikkan daripada RM2.60 sekilogram kepada RM3.50 sekilogram, sama seperti negara-negara pengeluar beras lain iaitu Vietnam dan Thailand.

“Peningkatan kos tidak sepatutnya hanya ditanggung petani yang kebanyakannya terdiri daripada golongan berpendapatan rendah sebaliknya perlu ditanggung secara bersama oleh pihak-pihak lain memandangkan nasi merupakan makanan ruji rakyat negara ini.

“Justeru kami cadang beras tempatan dan import diletakkan dalam satu kategori dengan harga siling kedua-duanya pada kadar RM3.50 manakala perbezaan kualiti dibuat berdasarkan peratusan hancur iaitu lima dan 10 peratus.

“Dalam masa sama, harga lantai belian padi oleh pengilang pula perlu ditetapkan pada kadar RM1,500 per tan daripada RM1,200 ketika ini. Subsidi sebanyak RM500 diberikan kerajaan kepada pesawah tidak cukup untuk tampung kos berikutan peningkatan harga input pertanian cukup tinggi sebelum ini,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi PeSAWAH, Mohd. Fuad Yaacob menegaskan golongan petani tiada langsung niat untuk bermusuh dengan kerajaan sebaliknya hanya mahu rintihan mereka didengari setelah sekian lama tertekan dan tertindas dengan beberapa isu yang seakan tidak pernah selesai.

“Bukan saja isu beras, malah benih padi tidak berkualiti yang menjejaskan pendapatan petani turut gagal ditangani dengan baik. Timbul persoalan terhadap pengeluar-pengeluar benih yang dapat kuota hingga 15,000 tan, adakah mereka ada ladang benih mencukupi untuk dibekalkan kepada pesawah atau hanya beli padi secara semberono untuk dijadikan benih.

“Satu perkara lagi bab subsidi benih, berilah terus kepada petani yang usahakan bendang dan tak perlu salurkan kepada pengeluar sebab ianya hak petani. Apabila diberikan kepada pengeluar, mungkin ada permainan tertentu untuk mendapat bayaran yang lebih,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya