SHAH ALAM: Kadar kebolehpasaran graduan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dilaporkan meningkat kepada 89.4 peratus iaitu naik 6.3 berbanding 83.1 pada 2021.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Profesor Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, UiTM meneruskan komitmen untuk memastikan kebolehpasaran graduan berada pada tahap optimum.
“Peningkatan tersebut adalah hasil usaha semua pihak yang bertungkus-lumus demi memastikan pencapaian 90 peratus kebolehpasaran graduan UiTM seperti yang disasarkan menjelang 2025.
“UiTM sentiasa konsisten dan komited dalam melonjakkan lagi kebolehpasaran graduan di peringkat UiTM,”katanya pada Majlis Perasmian Career and Industrial Relation Expo (CaIREx) 2023, semalam.
CaIREx 2023 dianjurkan oleh Pusat Kerjaya dan Kaunseling Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM kolaborasi bersama pihak Talentbank yang merupakan rakan kongsi rasmi penganjuran ekspo kerjaya tersebut untuk kali yang ke-17.
Jelas Mohd. Sazili, CaIREx adalah platform untuk mendedahkan kepada pelajar tentang trend pekerjaan terkini.
“Ia juga memberi peluang kepada bakal graduan menghadiri temuduga terbuka selain meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya perancangan kerjaya di peringkat awal melalui aktiviti pembangunan profil kerjaya,” ujarnya.
Penganjuran CaIREx kali ini disertai lebih 40 syarikat yang menawarkan jawatan kosong dan menjalankan temuduga secara walk-in kepada pengunjung. – UTUSAN