Keadaan jerebu membimbangkan, 19 kawasan rekod bacaan IPU

Keadaan jerebu membimbangkan, 19 kawasan rekod bacaan IPU tidak sihat

PEMANDANGAN dari Bukit Ampang melihatkan keadaan jerebu di kawasan Bandar Kuala Lumpur di sini, hari ini.-UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keadaan jerebu dalam negara dilihat semakin membimbangkan apabila sebanyak 19 kawasan mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Pensyarah di Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Nazatul Syadia Zainordin berkata, berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), ia menunjukkan keadaan yang membimbangkan.

Kata beliau, APIMS menunjukkan lapan negeri mencatatkan bacaan IPU tidak sihat iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang dan Terengganu.

“Bacaan yang paling tinggi direkodkan adalah di Bukit Rambai, Melaka dan Batu Pahat, Johor dengan nilai IPU 163 dan tiada bacaan IPU tidak sihat dicatatkan di kawasan Sabah serta Sarawak ketika ini.

“Berdasarkan imej satelit NOAA-20 yang direkodkan oleh ASEAN Specialized Meteorological Centre (ASMC), dilihat masih terdapat beberapa titik panas kategori High Confidence Level direkodkan di tengah dan selatan Sumatera, serta selatan Kalimantan, Indonesia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, pergerakan arah angin semasa dari tenggara yang melalui Laut Banda, Laut Jawa dan Kepulauan Riau berkemungkinan membawa bersama jerebu dari selatan Kalimantan dan Sumatera ke Malaysia dan Singapura.

Menurut Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) yang berpangkalan di Singapura, keadaan diburukkan lagi dengan keadaan cuaca kekal kering selama tempoh 24 jam di Kalimantan dan Sumatera.

Sementara itu, Pensyarah dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, UPM, Dr. Mohd Hasmadi Ismail mengakui bahawa jerebu yang melanda negara berpunca daripada pergerakan asap kebakaran hutan dan tanah daripada Indonesia.

“Asap daripada pembakaran ini dibawa oleh angin ke kawasan lain yang mana menyebabkan berlakunya jerebu di kawasan yang dilalui,” katanya.

Tambahnya, musim kemarau di Indonesia pada tahun ini dilaporkan adalah yang paling teruk sejak tahun 2019 berikutan kesan fenomena El Nino

“Hal ini menyebabkan proses memadamkan kebakaran di kawasan terjejas menjadi lebih sukar dan membawa kepada IPU yang tidak sihat,” jelasnya. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN