Kawal kemasukan artis luar negara ke Malaysia 

PARLIMEN: Kawal kemasukan artis luar negara ke Malaysia 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dinasihat mengawal kemasukan artis-artis luar negara kerana dibimbangi membawa budaya yang bertentangan dengan norma masyarakat negara ini dan agama Islam. 

Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor berkata, ia susulan rancangan kerajaan yang menurunkan cukai hiburan artis antarabangsa dari 25 peratus kepada 10 peratus yang memerlukan pemantauan rapi.  

“Dalam keghairahan kerajaan menarik artis luar negara, perlu ada kawalan. Dibimbangi artis yang dibawa masuk ke negara kita membawa budaya yang bertentangan dengan norma masyarakat beragama Islam. 

“…serta tidak selari dengan budaya masyarakat Malaysia yang mempunyai nilai-nilai ketimuran tinggi,” katanya semasa membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini. 

Dalam pembentangan Belanjawan 2024 sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju menurunkan kadar duti hiburan bagi Wilayah Persekutuan daripada 25 peratus kepada kadar baharu.

Ia sebagai mendukung usaha penggiat seni kreatif mengangkat sektor seni dan budaya tempatan.

Turut mendapat keistimewaan daripada Belanjawan 2024 adalah pengecualian sepenuhnya duti hiburan bagi persembahan pentas atau konsert artis tempatan.

Pada Julai lalu, Pemuda Pas menggesa pembaharuan dilakukan dalam garis panduan Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL), yang penuh kelompongan dan gagal mengekang perilaku artis yang membuat persembahan di Malaysia.

Ia susulan tindakan jelik dan kurang sopan dilakukan vokalis kumpulan The 1975, Matt Healy ketika melakukan persembahan di Good Vibes Festival, Litar Antarabangsa Sepang, ketika itu.

Dalam konsert itu, Matty dilihat memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Matty juga membuat ucapan menghina undang-undang negara berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium pemain bass The 1975, Ross McDonald di pentas.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, Akta Duti Hiburan 1953 (Akta 103) wajar diteliti semula supaya hiburan berciri keluarga seperi taman tema, teater dan filem tidak dirangkum dalam kategori yang sama seperti hiburan kabaret era 50-an.

Katanya, duti hiburan di seluruh negara wajar dikaji semula dengan sektor pelancongan menyumbang sebanyak 14 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Jelasnya, Korea Selatan berjaya bangkit sebagai negara yang mempunyai soft power, lalu mengeksport budaya mereka ke seluruh dunia kerana kerajaan mereka yang mengambil berat dalam sektor kreatif yang menghasilkan lagu, drama dan filem.

“Kita perlu menggalakkan bakat-bakat tempatan menghasilkan cereka filem yang lagi baik dan lebih menarik. Justeru, saya amat mengalu-alukan keputusan Perdana Menteri untuk menggalakkan sektor kreatif negara,” katanya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya