Kampung Cina dijenamakan semula kepada ‘China Town’ - Utusan Malaysia

Kampung Cina dijenamakan semula kepada ‘China Town’

PEMANDANGAN di Kampung Cina, Kuala Terengganu yang akan dijenamakan semula kepada ‘China Town’.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kampung Cina yang terletak di pusat bandar ini akan dijenamakan semula kepada ‘China Town’ sebagai inisiatif kerajaan negeri untuk menjadikannya destinasi pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, ketika ini, sesi libat urus antara kerajaan negeri dan beberapa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) komuniti tersebut masih berjalan untuk merealisasikan hasrat itu.

Menurutnya, cadangan untuk mengubah nama Kampung Cina kepada China Town itu secara tidak langsung akan mengubah wajah lokasi itu dan memberi limpahan manfaat kepada penduduk tempatan khususnya kepada penggiat industri pelancongan.

“Kerajaan negeri ada perancangan untuk jenamakan semula  Kampung Cina kepada ‘China Town’ kerana ia lebih bersifat antarabangsa dan mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong.

“China Town ini sudah wujud di banyak lokasi pelancongan terkenal seluruh dunia dan ia adalah satu jenama yang kuat dalam memperkenalkan budaya, seni serta keunikan masyarakat Cina Peranakan di Terengganu,” katanya.

Beliau berkata demikian  kepada pemberita selepas merasmikan  Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre, di sini, semalam.

Turut hadir Penasihat Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Alex Lee Yun Ping dan Presiden Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Dr. Wee Tiong Wah.

Ketika ini, terdapat kira-kira 1,000 Cina Peranakan berada di Kampung Cina dan kebanyakan mereka tidak kekok memakai batik dan kebaya serta menjadikan budu belacan sebagai menu wajib harian mereka.

Mengulas lanjut, Razali berkata, penjenamaan semula itu perlu dilakukan kerana Cina Peranakan Terengganu mempunyai keunikan tersendiri yang tidak sama dengan komuniti Cina di tempat lain dari segi pemakaian, pemakanan, bahasa dan pergaulan dengan masyarakat setempat.

“Selain itu, kerajaan negeri juga akan mewujudkan dua lagi lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) pada tahun depan iaitu di  Kampung Fikri, Setiu dan Kampung Tiruk di Marang untuk memperkenalkan lagi komuniti ini kepada pelancong luar.

“Cina Peranakan yang ada di dua kampung itu juga perlu  diketengahkan sebagai produk pelancongan baharu negeri kerana mereka juga mempunyai keunikan budaya yang istimewa dan perlu ditonjolkan kepada pelancong dalam dan luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN