ALOR SETAR: Sekumpulan petani di Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus di sini mengadakan bantahan secara aman terhadap penurunan harga belian padi daripada RM1,700 satu tan kepada RM1,250 sejak 3 Oktober lepas.
Mereka mendakwa penurunan harga yang ditetapkan pengilang itu juga lebih rendah daripada harga belian pada musim terdahulu iaitu RM1,280 satu tan.
Menurut salah seorang petani, Salleh Ali, 60, penurunan harga tersebut melampau dan kembali menghimpit petani yang terdiri daripada golongan pendapatan rendah.
“Kami percaya ini terjadi kerana agensi yang terlibat lepas tangan dan biarkan harga padi ditentukan oleh pengilang. Petani kini jadi orang yang tidak didendang atau diambil peduli oleh kerajaan.
“Dengan harga RM1,250 yang ditetapkan pengilang, kami hanya memperoleh keuntungan sekitar RM30 setiap relung,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar selepas demonstrasi berkenaan yang disertai oleh 30 petani di kampung berkenaan.
Sehubungan itu, kata Salleh yang juga Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kuala Sungai, pihaknya berharap kerajaan campur tangan dalam isu tersebut bagi meringankan beban petani.
“Kami berharap seandainya harga berkenaan tidak dapat dikembalikan kepada RM1,700 cukuplah dengan RM1,500 satu tan barulah petani dapat bernafas,” ujarnya.
Seorang lagi petani, Lim Han Bon, 38, berkata, keputusan pengilang menurunkan harga belian padi itu tidak adil memandangkan lebih 50 peratus petani belum menuai hasil padi masing-masing.
“Cuma 50 petani sahaja sempat merasa harga padi dijual RM1,700 satu tan. Cuma dua minggu sahaja naik selepas itu terus turun.
“Kami menangis tengok harga turun kerana sekarang ini kos buat bendang semakin tinggi. Kalau RM1,700 itu selesalah sikit kami, tetapi harga RM1,250 itu memang teruk. Kalau boleh kami semua mahu lari saja, tidak mahu buat bendang tetapi inilah saja kerja kami mampu buat,” katanya.
Mohd. Sobri Osman, 60, pula menambah, penurunan harga belian padi itu hanya akan menjerumuskan para petani kepada kancah kemiskinan yang berterusan.
“Kos mengerjakan bendang termasuk menuai kini semua sudah naik. Harga mesin padi dan traktor pun sudah naik RM10 serelung apabila dengar harga padi naik tetapi kini harga padi turun semula.
“Jadi kos ini akan terus menghimpit petani. Kita sangat berharap kerajaan dan agensi terlibat serius menangani perkara ini. Harga RM1,250 ini tidak akan merubah hidup petani. Di Perak pun pengilang beli dengan harga RM1,400 hingga RM1,500 per tan, takkan kami perlu jual di sana,” soalnya. – UTUSAN