ALOR SETAR: Kedua-dua anak kepada jururawat yang maut ditikam suami di Arau, Perlis semalam belum mengetahui kejadian sebenar yang menimpa ibu mereka.
Menurut kakak mangsa, Melati Abu Bakar, 39, yang menjaga anak saudaranya berusia lapan dan enam tahun itu, mereka hanya akan memberitahu perkara sebenar apabila jenazahnya dibawa pulang untuk dikebumikan hari ini.
“Anak sulung arwah ada tertanya-tanya juga mana mama? Mama tak balik kerja lagi? Mereka masih beranggapan mama mereka masih di tempat kerja,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.
Menurut Melati, dia bersama bapa, Abu Bakar Senapi, 64, datang ke HSB awal pagi ini untuk melakukan proses pengecaman mayat ke atas mangsa, Munirah Abu Bakar, 31, sebelum proses bedah siasat bermula.
Melati memberitahu, keluarga mereka masih terkejut dengan tragedi yang menimpa anak kelima daripada enam beradik tersebut namun reda dengan takdir itu malah sudah memaafkan suspek yang dianggap seperti keluarga sendiri.
“Berat nak cakap tentang perasaan kami sekeluarga sebab memang rasa ‘sakit’ tetapi kami sudah maafkan suaminya. Cuma kami minta kalau ada keputusan (mahkamah) nanti biarlah dia (suspek) diadili seadil-adilnya.
“Kami sudah reda apa yang menimpa arwah termasuk abah sendiri pun sudah terima hakikat,” katanya.
Kata Melati, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu dengan mangsa pada Ahad lepas ketika dia datang makan tengah hari bersama keluarganya.
“Arwah tidak menunjukkan apa-apa tanda dan kelihatan ceria seperti selalu. Arwah memang seorang yang ceria dan tidak pernah memberitahu apa-apa tentang masalah keluarganya.
“Mereka sudah hampir 10 tahun berkahwin, kalau bergaduh sikit-sikit itu biasalah. Suaminya juga baik dengan kami sebab itu kami semua terkejut dengan kejadian yang menimpa Munirah,” katanya.
Kata Melati, mereka sekeluarga mengetahui tragedi tersebut kira-kira pukul 1 petang semalam, namun bapanya mengetahui lebih awal dan sempat ke rumah Munirah yang sudah dikawal polis.
Katanya, keluarga belum memutuskan tentang penjagaan kedua-dua anak pasangan tersebut memandangkan kejadian itu berlaku secara tiba-tiba.
Menurut Melati, jenazah adiknya akan dikebumikan di kampung halaman mereka di Kampung Paya Tengah dekat Beseri, Perlis selepas urusan bedah siasat selesai.
Akhbar ini melaporkan seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah (HTF) maut ditikam suaminya dipercayai akibat cemburu dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau. – UTUSAN