Jurulatih dodgeball didakwa jentik kemaluan dua murid

Jurulatih dodgeball didakwa jentik kemaluan dua murid

TERRENCE Ee Soon Lee tiba di Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi menghadapi pertuduhan mengganggu kesantunan dua murid lelaki berusia 11 tahun. UTUSAN/AMIN AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang jurulatih dodgeball mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majisret di sini hari ini atas pertuduhan mengganggu kesantunan dua murid lelaki berusia 11 tahun sebuah sekolah rendah vernakular di Damansara di sini dengan menjentik kemaluan mereka, tahun lalu.

Tertuduh Terrence Ee Soon Lee, 53, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan pertama, jurulatih itu didakwa menganggu kesantunan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun (semasa kejadian) dengan menjentik kemaluannya dan mencucuk lubang punggung menggunakan kayu.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menjentik kemaluan seorang lagi kanak-kanak lelaki sebaya.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dewan sebuah sekolah vernakular di Damansara di sini antara pukul 2 dan 2.30 petang di antara November dan Disember 2022.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Siti Maryam Jamilah Md. Kamal menawarkan jaminan RM12,000 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi dalam kes itu.

Bagaimanapun, peguam Datuk Thrichelvam Rasiah memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan.

Semasa prosiding, ketika ditanya Zhafran hubungan antara tertuduh dengan mangsa-mangsa, pihak pendakwaan kemudian memaklumkan, lelaki itu jurulatih mereka.

Selepas mendengar permohonan dan makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Tarikh 29 November ini ditetapkan bagi sebutan kes.

Pada Julai lalu, media melaporkan guru besar sebuah sekolah vernakular di Damansara di sini membuat satu laporan polis berhubung kejadian yang didakwa berlaku di sekolahnya.

Berdasarkan laporan polis, jurulatih itu didakwa menanggalkan seluar murid, mencubit puting dada murid lelaki, mengacah mahu menjatuhkan kayu ke atas kemaluan murid lelaki dan menyuruh murid perempuan merangkak di celah kangkang.

Selain itu, pihak sekolah juga menerima aduan daripada ibu bapa yang ternampak jurulatih tersebut keluar dari bilik stor bersama anak perempuannya pada 5 Mei lalu dengan alasan memperbetulkan masalah tulang belakang murid berkenaan sebelum soal siasat dilakukan.

Presiden Persatuan Dodgeball Malaysia (PDM), Datuk Radha Krishnan kemudian memaklumkan pihaknya sudah diberitahu oleh sekolah berhubung insiden itu selain mengesahkan sekolah tersebut membuat laporan polis terhadap jurulatih yang didakwa bertindak luar kawalan.

Sejurus selepas insiden itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil maklum berhubung kontroversi gangguan seksual oleh jurulatih dodgeball melibatkan beberapa murid sekolah tersebut.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, laporan polis berhubung kejadian tersebut telah pun dibuat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN